fbpx
SIRI Squid Game dipuji sebagai produk berkualiti kerana menyeimbangkan antara jalan cerita dan peranan watak sehingga meninggalkan impak luar biasa kepada penonton.

Squid Game, tradisi, kuasa permainan orang Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASKHAH arahan sutradara Hwang Dong-hyuk berkenaan mencatat sejarah sebagai siri Korea Selatan pertama yang menduduki tangga nombor satu carta paling popular global.  Judulnya, Squid Game dan jika diterjemah dalam bahasa Melayu bermaksud ‘permainan sotong’.

Hebatnya orang Korea Selatan, sotong yang sering disebut-sebut sebagai haiwan ‘lembik’, langsung tidak menjadi kekurangan terhadap sudut kualiti karya yang dihasilkan.

Squid Game merupakan sebuah produk seni yang kini mendominasi perhatian dunia. Jika belum menonton, golongan tersebut dianggap sedang ‘ketinggalan kereta api’.

Permainan karakter

Satu siri yang cukup cermat dan cemerlang dari aspek permainan atau terjemahan karakter. Entah dari mana ilham dan otak jenis apa yang dimiliki produksi Korea Selatan tersebut sehinggakan semua karakter terlibat seolah-olah watak utama. Keberadaan watak utamanya, Seong Gi-hun pula terasa seiring dengan semua watak pembantu.

DUA watak yang memberi tekanan kepada penonton sepanjang jalan cerita iaitu Seong Gi-hun (kiri) lakonan Lee Jung-jae dan Cho Sang-woo (Park Hae-soo).

Setiap watak dibekalkan dengan naratif tersendiri dan meninggalkan bekas luar biasa kepada penonton.

Karakter Abdul Ali yang dilakonkan Anupam Tripathi, seorang pekerja asing dari Pakistan misalnya, mempunyai tempat istimewa dalam hati penonton. Kenapa? Kalian perlu tonton sendiri.

Ketagih

Penulis menghabiskan masa menonton sembilan episod sekali gus dalam masa sehari.

Hal ini kerana, menonton Squid Game ibarat satu perihal ketagih. Bahkan babak-babak yang perlahan tidak terasa begitu kerana naratif atau plot diikat dengan jayanya.

Bagaimana permainan-permainan tradisional boleh terus dipupuk dalam kalangan masyarakat?

SERAMAI 456 peserta memasuki satu pertandingan ‘maut’ disebabkan desakan hidup bagi merebut hadiah wang tunai lumayan berjumlah 45.6 bilion won (RM161 juta).

Bikin siri dengan olahan terbaik dari pelbagai aspek dan pada masa sama, menanam ideologi bahawa jangan mudah alpa dengan arus kemodenan dan melupakan apa yang bersifat tradisi. Pendekatan tersebut direalisasikan sempurna dalam Squid Game.

Pertalian dan kerjasama semua 456 peserta Squid Game juga mempunyai tuntutan hidup dan cerita tersendiri.

Benar, Lee Jung-Jae memegang watak utama, namun pada penghujung cerita, penonton akan sedar bahawa Squid Game memiliki ‘ensemble’ paling memberi kesan.

Keaslian

Dalam timbunan pujian, ramai juga mempersoalkan keaslian siri berkenaan. Ada yang mengatakan banyak persamaan siri tersebut dengan siri yang bernuansa lebih kurang sama hasil produksi Jepun, Alice in Borderland.

Baik Squid Game mahupun Alice in Borderland, kedua-dua siri tersebut memiliki kekuatan tersendiri. Andai diberi pilihan, Squid Game adalah jawapan penulis.

KEHADIRAN pelakon Jung Ho-yeon yang merupakan model terkenal dengan menjadikan Squid Game selaku debut lakonannya antara yang paling mencuri tumpuan penonton. Dia memegang watak sebagai Kang Sae-byeok.

Alasannya mudah, persembahan semua wataknya cemerlang. Kalau dari segi permainan, Alice in Borderland menang kerana lebih bersifat fiksyen.

Apapun, rasa seronok menyaksikan karya produksi Asia semakin meroket sekali gus memberi simbolik kepada Hollywood bahawa begini caranya buat produk seni berkualiti.

Satu hari nanti, mungkin giliran Malaysia membuktikan sesuatu, sama seperti animasi Upin & Ipin yang kian mendunia. Itu sahaja.

POPULAR