KEENAKAN menu dan lauk-pauk di sesuatu tempat pasti menjadi bualan mulut orang ramai sehingga ia terkenal dan semakin orang jauh dan dekat datang semata-mata untuk menikmati hidangan yang menjadi popular itu.
Demikian yang berlaku pada Restoran Bawah Kolong terletak di Kluang, Johor yang menyajikan lauk-pauk kampung daripada masyarakat Jawa yang begitu enak.
Antara menu yang dicari orang ramai termasuklah pais ikan, ayam percik versi Jawa dan lain-lain lagi.
ASAP ikan bakar membawa aroma menyelerakan di ruang bawah kolong sebuah rumah di Kampung Masjid Lama, Kluang, Johor bagaikan ‘memanggil’ pelanggan untuk singgah menikmati juadah istimewa yang disediakan itu.
Walau dihambat terik mentari, rumah yang kini dijadikan Restoran Bawah Kolong yang diusahakan dua beradik itu tetap dikunjungi orang ramai.
Ada yang terus mengambil bacaan suhu di kepala sambil menala telefon bimbit ke arah kertas putih di atas meja lipat disediakan di rumah usang binaan kayu itu.
Sambil berbaris menunggu giliran, mata masing-masing ‘liar’ melihat lauk-pauk yang dihajati.
Dua pekerja wanita di kaunter makanan tangkas melayan dan mengambil pesanan tetamu yang datang.
Apa yang nyata, bahang tengah hari itu tidak langsung merimaskan, malah suasana redup bawah kolong itu mengundang damai buat mereka yang datang untuk menjamu selera.
Kakitangan pejabat swasta dan kerajaan, malah yang datang berpasangan santai berborak sesama sendiri membicarakan hal kehidupan masing-masing.
Bagi kaum lelaki, ruang terbuka di anjung rumah itu menjadi pilihan untuk menjamah makanan dan melepaskan asap rokok.
Itulah yang menjadi keunikan Restoran Bawah Kolong yang sudah beroperasi sejak lima tahun lalu.
Perniagaan yang diusahakan oleh dua beradik, Sulastri Kasiman, 38, dan adiknya Sukardi, 35, mempunyai nostalgia tersendiri buat mereka.

Di ruangan bawah kolong inilah mereka berlari-lari di atas tanah berdebu, bermain guli sambil bergelak tawa tidak kira masa menikmati dunia kanak-kanak suatu ketika dahulu.
“Dahulu, rumah inilah tempat kami bermain guli, buaian dan pada masa itu rumah sewa kami tidak jauh dari sini.
“Perniagaan ini sudah masuk dua generasi, dahulu emak (Kamariah Kanan, 72) berniaga makan tengah hari di depan rumah menggunakan khemah kecil, tidak jauh dari rumah kolong ini.
“Lima tahun lepas, kami ambil keputusan untuk sewa rumah ini untuk menyambung legasi perniagaan emak dan dijadikan restoran.
“Saya tanya emak, agak-agak kalau disimen bawah kolong ini ada tak (pelanggan) yang nak duduk. Emak setuju sahaja, alhamdulillah, memang ramai pelanggan suka.
“Mereka kata sejuk, kerana rumah ini adalah rumah asal, atap zink dan dindingnya kayu. Rumah dulu-dulu manalah ada pendingin hawa, inilah cara mereka nak berteduh daripada panas terik,” katanya.
Menghimpunkan kira-kira 30 menu makan tengah hari, Sulastri berkata, setiap hari rutin mereka bermula sejak pukul 6 pagi bagi menyediakan menu resipi masyarakat Jawa yang menjadi keunikan di situ.
“Antara menu istimewa di sini adalah pais ikan, ayam percik versi Jawa dan lauk-pauk yang sering dimakan orang kita pada waktu tengah hari.
“Kami juga menyediakan masakan seperti daging masak lemak cili api, siput sedut, tempoyak ikan patin, selain menu asam pedas termasuk ikan pari,” katanya.

Katanya, bermula dua tahun lalu, mereka memperkenalkan lauk ikan bakar seperti cencaru, keli, kembong, tilapia, selain selar.
“Apa yang istimewanya, menu ikan bakar ini dikendalikan cef profesional, Saiful Azahari Abd Hamid, 40, yang sebelum ini bertugas di Taman Ekuestrian Putrajaya,” katanya.
Jelasnya, selain itu, mereka turut menyediakan masakan Thailand pada sebelah malam yang menawarkan lebih 30 menu pada harga berpatutan.
“Waktu operasi restoran ini bermula setiap hari kecuali Sabtu dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
“Ketika musim pandemik Covid-19 ini, pelanggan yang ingin datang beramai-ramai diminta membuat tempahan awal di talian 017-732 6454, selain dikehendaki sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya.














