fbpx

Sarjan didakwa rasuah lepaskan suspek kes ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azahari (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah tiga tahun lalu.

KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi melepaskan seorang lelaki yang terlibat kes memiliki air ketum tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azahari Affendi Basri, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh RM2,000 daripada Jabir Mohamad sebagai dorongan untuk mengurangkan pertuduhan terhadap lelaki itu atas kesalahan memiliki air ketum.

Bagi pertuduhan kedua, Azahari Affendi didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh suapan RM2,000 sebagai dorongan untuk melepaskan kereta Proton Wira yang disita sebagai barang kes bagi pemilikan air ketum daripada lelaki yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan olehnya di IPD Jeli kira-kira pukul 2 petang pada 15 Mei 2018.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM4,000 sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki sama atas kesalahan memiliki air ketum dan Proton Wira yang disita kira-kira pukul 4 petang pada 16 Mei 2021.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Hazikah Tuan Yacob dan Nor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Abu Bakar.

Terdahulu, Tengku Nurul Hazikah menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain memohon tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di SPRM setiap bulan. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI