fbpx

Risiko gemuk selepas berhenti merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekas perokok mengambil makanan ringan berkalori tinggi bagi menghilangkan rasa ketagihan terhadap nikotin. – Getty Images

MINNEAPOLIS, MINNESOTA – Satu kajian baharu mendapati  tindakan berhenti merokok akan membawa kepada diet tidak seimbang yang boleh  mengakibatkan masalah kegemukan, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Kajian oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Minnesota itu mendedahkan bahawa sistem opioid atau fungsi otak yang bertanggungjawab terhadap ketagihan dan selera makan akan menyebabkan bekas perokok memilih untuk mengambil makanan  tinggi kandungan lemak serta manis bagi memenuhi ketagihan mereka. 

“Kami menilai sama ada penghentian pengambilan nikotin akan menyebabkan peningkatan pengambilan makanan ringan yang tinggi dengan kandungan garam, lemak dan gula. 

“Selain itu, bagaimana reseptor yang menurunkan tekanan dalam sistem opioid terlibat dalam proses ini turut dikaji.

“Ini kerana dengan mengatasi cabaran tersebut dalam proses rawatan, ia dapat membantu pesakit berhenti merokok dan dalam masa sama, memahami tabiat pemakanan mereka serta menggalakkan keputusan yang lebih sihat,” kata ketua penyelidik, Dr. Mustafa al’Absi.

Menerusi kajian tersebut, kumpulan bukan perokok dan perokok diarahkan untuk berhenti mengambil nikotin dalam tempoh 24 jam. Mereka diberikan plasebo atau naltrexone iaitu  sejenis ubat yang kerap digunakan untuk merawat pesakit yang mempunyai masalah ketagihan bahan tersebut.

Hasilnya mendapati, individu yang berhenti merokok mengambil lebih banyak makanan berkalori berbanding mereka yang tidak merokok.

“Hasil kajian ini mungkin berkait dengan penggunaan makanan, terutamanya yang tinggi kalori untuk mengatasi kesan negatif dan tekanan yang menggambarkan perasaan mereka ketika baru berhenti merokok.

“Selain itu, keputusan daripada kajian praklinikal dan klinikal turut menyokong hasil penyelidikan ini. Ia menunjukkan bahawa tekanan meningkatkan kecenderungan untuk mengambil makanan tinggi lemak dan gula,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI