fbpx
Warga kapal KD Lekiu melambai tangan tanda persahabatan semasa lintas kapal RSS Stalwart pada Eks Malapura di perairan Selat Melaka baru-baru ini.

Eks Malapura kukuh kerjasama maritim TLDM – RSN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Jalinan kerjasama pertahanan antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (RSN) terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Eksesais Malaysia-Singapura (Eks Malapura) 29/2021 di perairan Selat Melaka baru-baru ini.

Eksesais tahunan kali ke-29 itu berkonsepkan latihan medan (FTX) dilaksanakan mulai 20 September lalu dan berakhir hari ini.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut dalam satu kenyataan memberitahu, objektif eksesais ini bertujuan memperkasakan kesefahaman dan meningkatkan saling kendali antara kedua-dua pasukan.

Menurut kenyataan tersebut, antara latihan yang dilaksanakan meliputi peperangan anti-serangan udara, penembakan sasaran permukaan, atur gerak taktikal dan pengoperasian bot.

“Begitupun, dalam suasana pandemik Covid-19 pelaksanaan eksesais yang hampir menjangkau usia empat dekad ini dilaksanakan berpandukan norma baharu secara atas talian.

“Ia membabitkan peringkat perancangan, pembukaan dan penutup serta beberapa siri latihan di laut dilaksanakan secara tanpa sentuhan,” kata kenyataan tersebut.

Aset TLDM yang terlibat dalam eksesais ini ialah frigat KD Lekiu, KD Lekir, kapal peronda KD Handalan serta helikopter Super Lynx selain bot tempur cepat TLDM.

RSN pula menampilkan kapal RSS Stalwart, RSS Vigilance dan RSS Vigour serta helikopter S-70B.

Menurut kenyataan itu lagi, eksesais turut dibantu pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi penglibatan pesawat pejuang F/A 18D dan Hawk.

“Secara keseluruhan eksesais kali ini berjaya memenuhi objektif yang telah digariskan.

“TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat bagi memastikan keselamatan perairan serantau sentiasa terjamin sepanjang masa,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR