SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang membangunkan sistem pertahanan dan pemantauan bagi meningkatkan pengesanan awal dan menutup jurang pemantauan ruang udara negara.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, lokasi terlibat adalah di Bintulu, Bukit Puteri dan Bukit Lunchu.
“Pembangunan sistem pertahanan itu turut melibatkan radar pemantauan udara di Pulau Layang-Layang. Keupayaan itu penting bagi meningkatkan pengesanan awal dan menutup jurang pemantauan ruang udara negara, khususnya di kawasan strategik,” katanya ketika berucap di Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-68, di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.
Hari Ulang Tahun TUDM ke-68 yang bertemakan ‘Kuasa Udara, Perisai Negara’ itu turut dihadiri Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim dan bekas-bekas Panglima TUDM.
Dalam pada itu itu Muhamad Norazlan berkata, tumpuan turut diberikan pada perisikan, pengawasan dan peninjauan.
“Pengoperasian Sistem Pesawat Tanpa Pemandu jenis ANKA-S dan persiapan pesawat rondaan maritim P-72M juga akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam pengawasan.
“Pembangunan juruterbang pejuang masa hadapan melalui program Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft dan perolehan pesawat FA-50 pula akan memperkukuh ekosistem latihan dan pembangunan juruterbang pejuang generasi baharu. Selain itu, TUDM juga terus memperkukuh dokongan logistik dan penyelenggaraan aset,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














