KUALA LUMPUR – Status perolehan fasa kedua pesawat Light Combat Aircraft (LCA) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih belum dimuktamadkan, termasuk pendaftarannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian ketika ini sedang menilai beberapa opsyen bagi memenuhi keperluan keupayaan pesawat tempur ringan TUDM.
Menurutnya, penilaian itu meliputi sama ada meneruskan perolehan fasa kedua LCA atau mempertimbangkan pilihan lain yang lebih bersesuaian dengan keperluan operasi semasa serta perancangan jangka sederhana dan panjang TUDM.
“Sehingga kini, belum ada keputusan muktamad berhubung pelaksanaan fasa kedua perolehan tersebut.
“Justeru, perkara berkaitan pendaftaran projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta anggaran kos juga masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang meminta kementerian menyatakan status perolehan fasa kedua pesawat LCA untuk kegunaan TUDM, sama ada ia berjaya didaftarkan di bawah RMK13 serta kos yang diperlukan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, apa jua keputusan yang diambil kelak, kementerian akan memastikan setiap perolehan dilaksanakan secara telus dan berhemat.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kerajaan memperoleh nilai terbaik di samping memenuhi keperluan operasi serta kesiagaan TUDM.- KOSMO! ONLINE














