fbpx

Segala aktiviti Sungai Batang Kali ada lesen LUAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kesemua segala aktiviti air melibatkan sumber air di kawasan Sungai Batang Kali telah mendapat lesen daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, ini melibatkan tiga aktiviti pencucian pasir dan dua aktiviti penternakan selain babi (ayam).

Katanya, pihak LUAS juga telah mengeluarkan kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber kepada dua aktiviti masing-masing pengorekan pasir dan naik taraf jambatan serta tebing sungai selain Lesen Abstraksi Air Permukaan melibatkan lapan premis yang terlibat termasuk aktiviti akuakultur tersebut.

“Semakan awal LUAS mendapati premis yang menjalankan aktiviti akuakultur iaitu Talapia Merah yang berkeluasan 0.41 hektar berhampiran Sungai Batang Kali tersebut berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS).

“Ia juga telah beroperasi selama 10 tahun dengan anggaran 29 kolam selain mempunyai Lesen Abstraksi Air LUAS yang masih sah sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang melaporkan Sungai Batang Kali berpotensi akan tercemar ekoran daripada aktiviti akuakultur (Talapia Merah) untuk tujuan komersial selain beberapa projek pembangunan lain di kawasan berhampiran sungai tersebut.

Menurut Loy Sian, agensi-agensi kerajaan negeri memandang serius dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan setiap insiden pencemaran diambil tindakan segera bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara.

Ujarnya, berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor bagi tahun 2019 hingga 2023 menunjukkan guna tanah utama adalah kawasan hutan sebanyak 51.7 peratus dan diikuti kawasan pertanian (35.67 peratus).

“Berdasarkan rekod Majlis Daerah Hulu Selangor (2016) terdapat tujuh resort, chalet dan inap desa di kawasan tersebut yang mana kedudukannya berhampiran Sungai Batang Kali dan Sungai Tamu.

“Setakat ini, tiada sebarang aduan yang diterima berkaitan premis yang dilesenkan di kawasan berkenaan serta gangguan terhadap ekosistem di sungai tersebut. Malah, pensampelan kualiti air dan pemantauan pematuhan lesen juga dilaksanakan oleh LUAS secara berkala,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (2014), Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Batang Kali adalah baik dan dikategorikan sebagai Kelas II dan masih kekal sehingga kini.

“Selain itu, berdasarkan rekod IKA di muka sauk loji rawatan air (LRA) Batang Kali dari 2019 sehingga tahun ini di bahagian hilir juga kekal dalam keadaan baik iaitu Kelas II. Manakala, kualiti air Sungai Batang Kali menunjukkan tren peningkatan yang lebih baik setiap tahun dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI