PETALING JAYA – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) kekal komited untuk mengutamakan permintaan domestik berbanding eksport bagi memastikan ketersediaan berterusan produk berkualiti tinggi di pasaran tempatan.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazuin Ismail berkata, pelanggan boleh bergantung kepada PCG bagi bekalan stabil dan kualiti produk yang konsisten.
”Keutamaan kami bagi tahun 2026 adalah untuk terus berwaspada, memperkukuh disiplin dan melindungi kekuatan operasi kami, sambil membina asas bagi pertumbuhan mampan.
“Dalam persekitaran operasi yang semakin dinamik dan kurang dapat diramal, pendekatan ini membolehkan kami kekal berdaya tahan dalam menghadapi volatiliti jangka pendek serta berada pada landasan yang kukuh untuk terus meningkatkan prestasi,” katanya dalam kenyataan hari ini, susulan Mesyuarat Agung Tahunan bagi membentangkan prestasi kewangan serta operasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Berlatarbelakangkan lebihan bekalan global, permintaan yang sederhana, tekanan kos serta ketidaktentuan geopolitik, PCG mencapai kadar penggunaan loji sebanyak 88 peratus tahun lalu, disokong oleh integriti aset yang kukuh serta pengurusan loji yang dioptimumkan merentas portfolio.
Kumpulan mencatatkan peningkatan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM574 juta, dengan Lembaga Pengarahnya mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak RM560 juta.
Berhubung prospek tahun ini, PCG berkata, perkembangan geopolitik di Asia Barat telah mecetuskan volatiliti baharu terhadap dinamik bahan mentah serta rantaian bekalan, dan strategi Kumpulan tertumpu kepada pengukuhan disiplin dalam aspek keselamatan, operasi dan peruntukan modal, di samping inisiatif terpilih untuk memperkukuh ketahanan portfolio. – KOSMO! ONLINE














