fbpx
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman oleh SPRM hari ini.

Pendakwah bebas pula disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seorang pendakwah bebas direman selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman sehingga 26 April terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukup 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pengerusi NGO tersebut disyaki melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 hingga kini.

“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa yang lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat yang juga miliknya,” katanya hari ini.

Tambah sumber, susulan siasatan tersebut, SPRM Negeri Sembilan telah membekukan 15 akaun terdiri daripada tiga akaun bank persendirian selain tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, turut disita ialah wang tunai termasuk mata wang asing serta tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000, tiga unit beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000 serta lima unit gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000.

Turut disita ialah sebentuk cincin berjumlah kira-kira RM2,000, satu unit rantai berjumlah kira-kira RM7,000 dan 51 keping emas seberat 1 gram berjumlah kira-kira RM31,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN