PETALING JAYA – Tindakan seorang pelajar perempuan yang menghulurkan air minuman kepada pemandu bas ketika mahu turun dari bas tersebut menyentuh hati orang ramai, semalam.
Menerusi satu perkongsian video di TikTok oleh @hafizpjack, kelihatan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Agama yang turun dari bas dengan penuh tertib sambil masing-masing mengucapkan terima kasih kepadanya.
Bagaimanapun, seorang daripada pelajar tersebut menghulurkan air kepadanya sebagai ucapan terima kasih sebelum turun dari bas tersebut.
Pemandu itu meluahkan rasa terharu dengan sikap pelajar tersebut yang disifatkan sebagai sangat menjaga adab dan menghormati orang yang lebih tua.
“Terima kasih belanja air dekat pak cik,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji didikan ibu bapa dan pihak sekolah yang berjaya melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah kaya dengan nilai murni.
“Sejuk hati tengok anak-anak macam ini. Benda nampak kecil tapi nilai adab itu yang mahal,” kata seorang pengguna.
“Alhamdulillah, anak baik dan pak cik baik, semoga Allah perluaskan rezeki kita semua,” kata pula pengguna Umi Bonda.
“Semoga adik-adik berjaya dunia akhirat dan semoga pak cik bas pun dilimpahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan,” ujar pengguna Jepskin. – KOSMO! ONLINE














