fbpx
PEMASARAN phygital melibatkan komunikasi pembeli produk yang mungkin beralih antara membeli-belah di kedai dan secara dalam talian. – GAMBAR HIASAN

E-dagang jadi kegilaan, belian fizikal masih perlu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI zaman serba canggih ini dengan pelbagai aplikasi dicipta termasuk melibatkan pembelian barangan secara online, namun masih ramai yang tidak menggunakan kemudahan tersebut.

Ini membabitkan banyak faktor dan salah satu daripadanya adalah bukan semua produk sesuai dibeli secara online.

Ia disebabkan banyak orang masih ingin merasa sendiri secara sentuhan produk berkenaan yang mempunyai nilai emosi tersendiri.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PEMASARAN phygital mungkin satu istilah yang masih asing bagi pengusaha perniagaan di Malaysia.

Ia sebenarnya bukan perkara baharu, tetapi lebih kepada istilah saduran lahir daripada perkembangan teknologi semasa.

Pemasaran phygital melibatkan gabungan dua perkataan iaitu fizikal dan digital.
Contohnya, ia melibatkan komunikasi pelanggan yang mungkin beralih antara membeli-belah di kedai dan secara dalam talian.

Walaupun pembelian mudah alih terus mendapat tempat, pelanggan turut menggunakan peranti mudah alih untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah di kedai konvensional.
Pengalaman itu sangat penting, terutamanya bagi perusahaan di bidang perniagaan kepada perniagaan (B2B).

Pembeli B2B mengatakan, mereka sanggup membayar lebih banyak untuk pengalaman hebat ketika berurusan.

Hampir separuh pengguna telah menyelesaikan pembelian yang diiklankan setelah mendapat pengalaman luar biasa tersebut.

Pada masa ini, banyak pemasar perniagaan nampaknya enggan mengakui trend pengguna akhirnya menuju ke arah B2B. Oleh itu, mari kita berfikiran terbuka dalam hal ini.

Apabila dijalankan dengan perancangan teliti, pemasaran phygital adalah alat yang ampuh untuk berhubung dan melibatkan pelanggan.

Di bidang perniagaan kepada pengguna, pelanggan masih inginkan aspek sensori tertentu daripada pengalaman membeli-belah dalam kehidupan sebenar walaupun populariti e-dagang semakin meningkat.

BIARPUN ramai yang beralih kepada pembelian online, namun masih ada yang suka membeli barang secara fizikal disebabkan faktor tertentu termasuk emosi. –GAMBAR HIASAN

Pemasaran phygital turut mengoptimumkan pengalaman untuk pelanggan B2B.
Cara pakar pemasaran melakukannya adalah bergantung kepada khalayak sasaran mereka serta produk atau perkhidmatan syarikat.

Sebagai contoh, pemasaran phygital menunjukkan, konsep itu boleh jadi apa sahaja daripada strategi perniagaan yang merangkumi segala aspek hingga beberapa perubahan diperlukan untuk meningkatkan pengalaman berurusan.

Melihatkan beberapa kata kunci dan frasa yang menjadi trend terkini serta persoalan dan cadangan berkaitan pelbagai topik B2B, ia pasti membuatkan pemasaran phygital sebagai trend carian penting dalam dunia pemasaran hari ini.

Konsep pemasaran tersebut mengambil aspek terbaik daripada pembelian sebenar dan dalam talian untuk meningkatkan pengalaman berurus niaga secara keseluruhan.

Kita semua mungkin pernah mendengar perbincangan mengenai transaksi fizikal yang hampir ke penghujung eranya, terutama selepas bisnes e-dagang yang semakin meningkat ketika pandemik.

Bagaimanapun, pengguna masih memerlukan aspek tertentu daripada pengalaman membeli-belah dalam kehidupan sebenar.

Pemasaran phygital juga dapat menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan pengalaman pembelian produk secara fizikal.

Apa yang perlu dilakukan adalah para peniaga dan usahawan perlu memahami khalayak atau sasaran pasaran mereka pada masa kini yang sentiasa berubah mengikut keadaan.

Tanyakan pada diri sendiri apakah pengalaman deria fizikal yang mungkin menjadi kekurangan kepada mereka.

Mereka juga harus memperhatikan apa yang dapat diberikan dalam transaksi fizikal dan bagaimana teknologi serta aktiviti digital dapat meningkatkan pengalaman kehidupan nyata masa kini.

Maklum balas untuk mendapatkan inspirasi perlu dilakukan agar strategi lebih berkesan dan masalah diutarakan pembeli akan menjadikan strategi pemasaran diperbaiki sebaiknya dan menjadi lebih kukuh.

Selain itu, selidiki data daripada pelanggan yang tidak berpuas hati dan bagaimana kita boleh menggunakan strategi pemasaran phygital untuk memperbaikinya.

Dalam pada itu, beberapa jenama produk di pasaran pula menganggap pemasaran phygital adalah menarik kerana menolong mereka meningkatkan operasi dan mengurangkan kos operasi di kedai.

Dalam usaha menarik pelanggan baharu, pemasaran phygital tertentu memerlukan pelaburan yang besar.

Jadi, pastikan mereka yang ingin berbuat demikian mempunyai matlamat dan strategi terbaik agar ia dapat direalisasikan dengan lebih efisien.

Dalam hal ini, utamakan emosi dan rasa kerana kedai fizikal bukan hanya untuk membeli-belah, tetapi untuk mencipta pengalaman deria pelanggan.

Ini memandangkan, tiga deria pelanggan iaitu rasa, bau, dan sentuhan tidak ada dalam pengalaman membeli-belah dalam talian.

Aspek lain yang sukar ‘ditiru’ ke dalam talian iaitu hubungan manusia dan emosi yang berkait rapat dengannya.

Walaupun apa sahaja usaha yang kita lakukan, ia masih tidak sama dengan hadir secara fizikal di persekitaran yang berbeza.
——————————————————————————————————-
Afizan Amer ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN