fbpx
gambar hiasan

Cadang operasi stesen minyak, restoran hingga 12 tengah malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini bersetuju mencadangkan supaya waktu operasi restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan tersebut akan dibawa kepada Jawatankuasa Khas Pemulihan Cobid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun katanya, bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ia masih dikecualikan.

“Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini setuju untuk mencadangkan untuk memanjangkan waktu operasi restoran, stesen minyak dan kedai runcit bermula dari jam 6 pagi hingga 12 malam kecuali kawasan PKPD.

“(Persetujuan) ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh Perdana Menteri sebelum diputuskan tarikh berkuat kuasanya,” katanya ketika sidang akhbar hari ini.

Turut menyertai sidang akhbar tersebut adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tambah Hishammuddin, keputusan mengenai cadangan tersebut akan diputuskan esok.

“Penting untuk saya menjelaskan fokus Menteri-Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat. Matlamat utama kita ialah #ReopeningSafely,” katanya.

Pada masa sama, Hishammuddin turut memaklumkan, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat dalam keadaan menuju ke fasa endamik.

“Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP-SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus Covid-19,” katanya.-K! ONLINE.

POPULAR