fbpx

Gara-gara gajah program vaksinasi tertangguh, Orang Asli pindah sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslan Abu Kassim (berdiri, tengah) selaku pengantara dan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam menenangkan seorang penduduk Orang Asli menerima suntikan vaksin di Kampung Yong, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Pahang semalam.

JERANTUT – Gara-gara gajah liar masuk kampung menyebabkan program vaksinasi penduduk Orang Asli etnik Bateq di Kampung Aur tertangguh selepas kira-kira 40 penduduk melarikan diri ke tempat lain.

Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim berkata, sebanyak 14 buah keluarga yang tinggal di Kampung Aur, Kuala Tahan berpindah sementara daripada kediaman mereka apabila kawanan gajah liar menceroboh pada waktu malam minggu lalu.

“Sepatutnya mereka (Orang Asli) berkenaan yang dijadualkan mengambil suntikan vaksin daripada petugas Jabaran Kesihatan Daerah (JKD) pada minggu ini, tetapi akibat kejadian berkenaan, mereka lari ke tempat lain.

“Saya yang kenal rapat dengan Tok Batin Kampung Aur dan anak buahnya dimaklumkan penduduk lari menyelamatkan diri ke dalam hutan dan selebihnya menumpang tinggal di rumah rakan mereka (Orang Asli Bateq) di kampung berdekatan Taman Negara,” katanya di sini hari ini.

Roslan merupakan antara perantara bagi membantu Jabatan Kesihatan Daerah Jerantut melaksanakan program vaksinasi di penempatan Orang Asli di Taman Negara.

Menurut Roslan, Orang Asli di Taman Negara amat memahami dan sedar bahaya pandemik Covid-19 seterusnya bersetuju menerima vaksin bagi membolehkan mereka bergerak keluar dan bekerja semula di Taman Negara.

Katanya, selain sumber hutan, kebanyakan Orang Asli etnik Bateq di sini khususnya golongan belia bekerja sebagai pemandu pelancong, pemandu bot penambang dan pengangkut barang.

Sementara itu beliau berkata, ketiadaan sumber pendapatan dalam tempoh pandemik Covid-19 menyebabkan sebilangan daripada masyarakat Orang Asli berpindah randah ke tempat lain untuk mencari kawasan rayau.

“BGTN termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar dan wakil rakyat kerap memberikan bantuan makanan kepada Orang Asli etnik Bateq di sini yang terjejas pendapatan masing-masing bagi meringankan beban kesusahan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan,”ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI