fbpx

Pemandu lawan arus didakwa bunuh dua remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEVAASWIN didakwa membunuh dua remaja di Lebuh Raya Persekutuan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

SHAH ALAM – Pemandu Mitsubishi Triton yang memandu melawan arus didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh dua remaja di Lebuh Raya Persekutuan pada 12 September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas dua pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, K. Devaaswin, 24.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran bahagian pengangkutan didakwa membunuh terhadap Nur Afiqah Abdul Karim, 18, di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur di Shah Alam pada pukul 1.50 pagi, 12 September lalu.

Dia turut dituduh melakukan kesalahan sama terhadap Muhammad Hafiz Syamjr Dzul Asri, 19, di lokasi dan pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili Peguam Pushpa Ratnam dan R. Thanuja.

Kes disebut semula 21 Oktober ini.

Pada 12 September lalu, dua remaja maut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dilanggar oleh kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan.

Hasil ujian air kencing mendapati, pemandu kenderaan pikap itu positif dadah jenis ganja. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI