fbpx
Lana Noden.

Maaf, buat masa sekarang saya pilih ‘hujan emas’ – Lana Nodin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri sering digunakan untuk memberitahu sehebat mana pun sesebuah negara itu, negara sendiri juga yang menjadi pilihan di hati.

Bagaimanapun, pelakon sensasi Lana Nodin mengakui buat masa ini, dia memilih untuk lebih menghargai negara luar (Amerika Syarikat) berbanding Malaysia kerana berasa lebih bebas ketika berada di sana.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Lana atau nama lengkapnya Mazlina Hassan Nordin, 41, berkongsi kegiatannya di negara Uncle Sam itu apabila bebas untuk membeli-belah tanpa sebarang sekatan atau diskriminasi.

“Orang kata hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Tapi maaf ya, quote anda bagi ini, buat masa sekarang saya lebih memilih ‘hujan emas’ (Amerika Syarikat) sebab dah lama tak dapat membeli-belah seperti ini,” ujarnya.

Kata pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu lagi, dia hantaran tersebut adalah pilihannya sendiri tanpa ada niat provokasi atau diskriminasi.

“Tiada diskriminasi dan kebebasan hak memilih itu yang penting,” katanya.

Pandangan dan pilihan Lana turut disokong oleh pengikutnya dalam Instagram apabila berpendapat situasi di Malaysia sangat berbeza dengan luar negara dalam mengekang penularan Covid-19 apabila banyak sekatan dikenakan untuk rakyat di negara ini.

“Dekat sini (Malaysia ) bukan hujan sahaja, mulut petir netizen pun menjadi-jadi. Sakit hati sangat dengan orang tak vaksin,” ujar seorang pengguna Instagram.

“Sini budak kecil semua tidak boleh keluar. Kasihan terperuk dalam rumah sahaja,” kata seorang lagi pengikutnya.

“Tadi nak masuk kedai beli baju tak lepas. Atas bawah pekerja kedai tengok saya. Okeylah, tidak mengapa kalau tak bagi masuk,” kongsi seorang netizen.

Terdahulu, pelakon yang terkenal dengan jolokan Pamela Anderson Malaysia menjadi buah mulut netizen apabila mengkritik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ogos lalu.

Dia turut dituduh sebagai antivaksin dan cuba menghasut orang lain dengan mempersoalkan keberkesanan vaksin Covid-19.

Lana turut menegaskan dia bukan golongan antivaksin seperti yang dilabel dan tetap akan mengambilnya tidak lama lagi di AS.

Untuk rekod, Lana dan keluarganya kini berada di AS sejak Sabtu lalu dan bakal pulang ke Malaysia selepas semua urusan keluarga sebelah suaminya selesai kelak. – K! ONLINE

POPULAR