fbpx

Orang Asli positif Covid-19 naik helikopter ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba disanitasi selepas menghantar Asalmi ke Hospital Gua Musang semalam. FOTO IHSAN JBPM

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) pertama membawa seorang wanita Orang Asli positif Covid-19 di Pos Belatim di sini semalam.

Asalmi Alang, 59, yang sudah mengalami masalah sukar bernafas, batuk dan hilang deria bau dikesan dijangkiti penyakit Covid-19 tahap empat.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu menggunakan helikopter Agusta 109E (A109 E) yang terlibat dalam operasi Program Outreach Vaksinasi Kebangsaan Covid-19 di kampung pedalaman Orang Asli.

“Penerbangan itu berlepas di Padang Pusat Sivik Gua Musang pada pukul 3.25 petang ke Pos Belatim untuk mengambil pesakit terbabit yang sudah berada dalam keadaan lemah.

“Helikopter itu mendarat di Pos Belatim 20 minit kemudian selepas mengambil pesakit terbabit,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Farhan berkata, penerbangan itu kemudian mendarat dengan selamat di Perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 4.25 petang.

Katanya, pesakit itu yang berada dalam keadaan stabil terus dibawa ke Hospital Gua Musang dengan jentera JBPM. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI