fbpx

Zahirah ‘cewek’ handalan, tapi tak sehebat Polis Evo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BULAN & Pria Terhebat masih sebuah karya yang bagus cuma ada perihal itu ini yang boleh diperbaiki. Filem berkenaan masih tersedia dalam Netflix.

KARYA berjudul Bulan & Pria Terhebat sepatutnya sudah lama bertemu penonton di pawagam iaitu sekitar tahun lalu, namun terpaksa dihentikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Filem garapan Ghaz Abu Bakar tersebut kemudian menemui peminat menerusi saluran 480 Astro First, bermula 11 Mac tahun ini dan terbaharu turut terkandung dalam Netflix dan menjadi antara filem trending.

Bersempena dengan pembukaan semula panggung wayang, penulis berasa tertarik untuk memberi semangat dan motivasi kepada peminat filem untuk kembali menyokong industri perfileman tanah air yang sudah lama tandus dek bahana Covid-19.

ZIZAN dan Zahirah bergandingan buat kali pertama dalam bentuk filem menerusi Bulan & Pria Terhebat

Berbalik tentang kualiti filem Bulan & Pria Terhebat, usai menghabiskan masa 106 minit menonton, karya berkenaan merupakan sebuah kombinasi aksi komedi tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Apa yang paling berbekas pastinya nilai tentang komedi yang terhasil termasuk juga garapan aksi. Penonton boleh jangka lawak-lawak menggeletek hati daripada Zizan Razak yang melakonkan watak Haris dan Bell Ngasri (Arab) dan Khir Rahman (Agus).

Pada masa sama, bintang utamanya Zahirah MacWilson yang melakonkan karakter cewek Indonesia tidak mengecewakan harapan ramai. Slanganya dan terjemahan karakter sebagai tentera terlatih oleh Zahirah, semuanya ‘menjadi.’

PENGLIBATAN Maya Karin kurang meninggalkan impak seperti selalunya, namun tidak menafikan dia seorang pelakon yang handal.

Jika tanpa kenal siapa Zahirah, penonton pasti mudah menyangka bahawa wanita tinggi lampai itu benar-benar dari Indonesia. Itu antara kualiti tentang sesebuah filem apabila pemegang watak utama benar-benar menjayakan tugasan yang diberikan.

Bagaimanapun, harapan yang tinggi yang diletakkan terhadap buah tangan daripada pembikin sama yang pernah menghasilkan Polis Evo agak sedikit mengecewakan, terutama dari segi suntingan.

Penulis tidak berapa pasti sama ada filem ini disiapkan dalam fasa ‘terkejar-kejar’ atau mungkin disebabkan bahana pandemik Covid-19 tetapi itulah yang terpapar di skrin tontonan.

Bukan sekali tetapi berkali-kali suntingan ‘kantoi’ tidak dicernakan dengan cemas. Ada beberapa potongan babak yang tiba-tiba melompat dari satu babak ke satu babak yang lain.

FILEM garapan Ghaz Abu Bakar ini menelan kos RM3.6 juta, namun masih banyak kelompongan dari segi teknikal termasuk suntingan dan efek bunyi.

Kedua, kualiti atau efek bunyi turut berdepan perkara hampir serupa. Contohnya, apabila babak melibatkan pertuturan kata antara pelakon, semuanya okey tiada masalah, namun apabila masuk babak yang melibatkan dentuman ataupun pertarungan, bunyi jadi pecah dan itu membuatkan halwa telinga didatangi sedikit kejengkelan.

Villain atau watak jahat pula sangat penting dalam sesebuah filem aksi, namun perhatian agak terganggu dengan ‘permainan’ karakter yang ditonjolkan Maya Karin dan Sein Qudsi tidak diberikan keadilan sewajarnya sebagai villain.

Maya terutamanya kita rasakan seperti tiada cetusan kimia dengan filem ini.

ZAHIRAH berjaya membawa watak seorang gadis Indonesia bernama Bulan dengan cemerlang.

Sayang, kerana barisan pelakon yang terlibat bukan calang-calang terutama Maya yang beberapa kali pernah menang trofi aktres terbaik. Sepatutnya dia diberikan lebih ‘screentime’, sedikit latar belakang dan bukannya sekadar tempelan.

Apa pun, Bulan & Pria Terhebat masih sebuah karya yang bagus cuma ada perihal itu ini yang boleh diperbaiki. Filem berkenaan masih tersedia dalam Netflix. Untuk peminat filem yang tidak sabar kembali ke panggung wayang, jangan lupa jaga SOP dan sokonglah industri sinematik dan perfileman tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI