fbpx

Jualan e-Book travelog pengganti rezeki pengembara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Impak pandemik Covid-19 memberi dugaan yang besar buat banyak syarikat yang terlibat dalam sektor pelancongan dan tidak terkecuali TMPL Backpackers yang telah ditubuhkan sejak 2015.

Demi kelangsungan hidup, pengasas bersama syarikat yang telah menguruskan hampir 50 trip setahun ke lebih 80 buah negara, Fauzi Zakaria terpaksa membuat pelbagai pekerjaan seperti menjual buah-buahan di tepi jalan, mengambil upah mengecat rumah dan juga menjadi penghantar barangan.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memburukkan lagi keadaan apabila be­liau terpaksa menutup sementara operasi syarikat dan memulangkan semula baki duit pelanggan yang telah membuat tempahan pakej pelancongan sebelum tahun 2020.

“Hampir enam bulan, saya telah melakukan pelbagai pekerjaan tetapi masalah kesempitan kewangan itu masih dirasai sehingga tidak dapat membayar komitmen bulanan.

“Walau bagaimanapun, atas nasihat dan pandangan rakan-rakan yang tidak putus-putus memberi semangat, saya mendapat idea untuk menulis kisah dan pengalaman pengembaraan di luar negara dan diabadikan dalam bentuk digital berupa e-Book,” katanya pada sesi temubual secara maya baru-baru ini.

Fauzi, 42, tidak menyangka e-Book travelog sulung mengenai panduan kembara menaiki kereta api Transiberia merentasi bumi Rusia yang mengan­dungi 50 muka surat mendapat sam­butan yang amat baik daripada masyarakat.

“Berdasarkan maklum balas daripada pembaca, mereka ­menyukai e-Book travelog tersebut kerana padat dengan maklumat, tips pengembaraan seperti cara pemilihan tiket kereta api, kesesuaian dan keselesaan ber­ada di dalam kereta api, lokasi popular sepanjang perjalanan, makanan halal yang boleh didapati dan juga diserikan dengan gambar-gambar yang menarik.

“Selain itu, saya juga telah memberanikan diri menerbitkan pula kisah pengembaraan dalam bentuk buku fizikal pada bulan Julai lalu.

“Ia ditambah pula dengan kandungan berserta gambar menarik dengan cetakan berwarna sehingga 150 muka surat,” jelas­nya.

Sehingga kini, buku The Transiberian Journey itu terjual lebih daripada 2,000 unit dan beliau semakin agresif mempromosikannya di media sosial bagi meningkatkan pengetahuan para peminat pengembaraan unik itu.

“Saya tidak menyangka, pandemik wabak maut ini telah memberi peluang kepada saya menjadi ‘penjual impian’ dan berkongsi pengalaman dengan pembaca lain melalui penulisan kisah menarik daripada pengalaman mengembara ke bumi Rusia dalam e-Book dan juga buku fizikal,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN