fbpx
Tertuduh, Zurailie (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian dua orang penunggang motosikal di Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini.- Foto BAHRUDDIN HATTA

Pembantu perubatan didakwa memandu secara merbahaya sehingga sebabkan kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH – Seorang pembantu perubatan di sebuah klinik kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal manakala seorang lagi parah di Jeli Jumaat lalu.

Tertuduh, Zurailie Muhamad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu sebuah kereta secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian dua orang penunggang motosikal manakala seorang lagi cedera parah.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Jeli kira-kira pukul 11.11 pagi pada 10 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 serta tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Mazuin Che Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mazuin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 diberikan terhadap tertuduh.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 1 November depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah kereta jenis Honda Civic yang membuat pusingan U secara mengejut.

Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 17 tahun dan seorang lagi mangsa berusia 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga penunggang motosikal berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah dalam nahas itu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati tertuduh didapati positif dadah jenis methamphetamine sewaktu memandu keretanya.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR