BENTONG – Kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia pada tahun 2007 turut dirasai oleh penduduk di sekitar Janda Baik dan Bukit Tinggi di sini sehingga menyebabkan mereka trauma.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Janda Baik, Zahari Arop berkata, hampir kesemua penduduk di kawasan perkampungan itu merasai gegaran kuat.
Bagaimanapun katanya, gegaran yang berlaku di kawasan tanah tinggi itu tidak menyebabkan kerosakan harta benda mahupun kemalangan jiwa.
“Walaupun hanya beberapa saat, namun gegaran memang terasa dan mengejutkan penduduk. Saya sendiri terasa bergoyang dan terdengar getaran di bahagian tingkap rumah.
“Setakat ini, hanya sekali gegaran yang agak kuat dan selebihnya hanya sedikit dan tidak semua penduduk merasainya,” katanya di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, seorang penduduk Janda Baik, Mohamad Nazri Nong, 65, berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu kerana tidak menyangka gempa bumi boleh berlaku di Janda Baik.
Katanya, semasa kejadian, dia baru sahaja selesai solat Subuh sebelum terdengar bunyi kuat dari luar rumah.
“Bunyi bagaikan letupan batu diikuti rasa gegaran di dalam rumah seketika. Saya bersyukur tiada kejadian buruk yang berlaku dan kejadian turut dirasai penduduk lain,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihak bomba ketika itu turut menerima laporan mengenai kejadian gempa bumi di Janda Baik, namun tiada sebarang kejadian tanah runtuh dan kerosakan dilaporkan.














