fbpx

Yang pulang hanya jenazah – Kakak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOMPOKAN darah Mohd. Sufian di lantai Masjid Taman Scientex, Pasir Gudang selepas mangsa menumbuk pintu pada Sabtu lalu.

HULU TERENGGANU – Seorang jurutera kimia yang ditemui me­ninggal dunia selepas merosakkan pintu masjid di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu lalu mahu pulang ke kampung di Terengganu untuk menziarahi bapanya yang tidak sihat selepas enam bulan tidak berbuat demikian.

Arwah Mohd. Sufian Mohd. Said, 28, membuat permohonan untuk merentas negeri sehari sebelumnya, namun ditolak oleh pihak berkuasa kerana dokumen berkaitan tidak mencukupi.

Kakak arwah, Siti Ayu Megawati Mohd. Said, 33, berkata, adiknya yang juga anak lelaki tunggal itu mahu pulang ke kampung di Kuala Berang untuk menje­nguk bapa mereka yang kerap diserang asma dan sakit belakang sejak kebelakangan ini.

“Biarpun berjauhan, kami kerap berhubung melalui panggilan video dan kali terakhir pada Jumaat lalu. Dia beritahu nak balik kampung walaupun terpaksa berhenti kerja lepas tahu kesihatan ayah semakin merosot.

“Pada hari kejadian, dia pergi ke masjid untuk berjumpa imam bagi membantunya dalam urusan permohonan rentas nege­ri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah keluarganya semalam.

Menurut Mas Ayu, dia dimaklumkan arwah sempat bertemu imam masjid sebelum diminta datang semula pada pagi Ahad.

“Entah kenapa adik bongsu saya pergi semula ke masjid pada malam itu. Mungkin dia sangka imam berada di dalam biliknya (di masjid),” katanya.

ALLAHYARHAM MOHD. SUFIAN

Cerita wanita itu, setelah permohonan rentas negeri ditolak, dia yang tinggal di Johor Bahru berjanji membantu adiknya dan pulang ke kampung bersama-sama pada Ahad lalu, namun tidak menyangka Mohd. Sufian pulang sebagai jenazah.

“Arwah memang rapat de­ngan kami. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, dia pulang ke kampung setiap bulan.

“Kami sekeluarga agak terkejut kerana arwah bukan mudah putus asa, malah kerap nasihat kami supaya sentiasa sabar hadapi dugaan hidup,” katanya.

Sementara itu, di Johor Bahru, arwah Mohd. Sufian sempat berpesan kepada imam Masjid Taman Scientex, Pasir Gudang supaya menghantar jenazahnya ke kampung di Kuala Berang sekiranya dia meninggal dunia.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superinten­dan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya dimaklumkan kekematian mangsa pukul 7.35 pagi, Ahad lalu di rumah sewa lelaki itu di Taman Scientex di sini.

“Rakaman te­levisyen litar tertutup menunjukkan lelaki itu menumbuk pintu masjid dua kali hingga pecah,” kata­nya.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan pada perge­langan tangan kanan dan urat tendonnya terputus. Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI