fbpx

‘Tidak sangka suami balik dalam van jenazah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaini Kaus terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah selepas suami Md. Isa meninggal dunia akibat Covid-19, Isnin lalu.

MELAKA – Ibarat patah sayap sebelah.

Itulah nasib dialami seorang suri rumah apabila sekelip mata bergelar ibu tunggal dan terpaksa membesarkan enam anak selepas si suami meninggal dunia akibat Covid-19, Isnin lalu.

Ujian berat yang menimpa keluarga itu tular selepas satu rakaman video memaparkan suasana hiba anak-anak mangsa meraung semasa van jenazah membawa arwah lalu di depan rumah mereka di Taman Krubong Jaya di sini.

Menurut Zaini Kaus, 44, arwah suaminya Md. Isa Mohd. Noor, 43, disahkan positif jangkitan virus itu pada 23 Ogos lalu dan mendapat rawatan di Hospital Melaka selepas paras oksigen menurun kepada 90 peratus.

Arwah yang bekerja sebagai pemandu lori sawit hanya mengalami demam, membuatkan dia dan anak-anak yakin suaminya akan pulang ke rumah selepas beberapa hari dirawat.

“Anak-anak saya masih kecil berusia lima hingga 11 tahun. Anak yang paling rapat dengan suami ialah Nur Danisha Zahra yang berusia 10 tahun.

“Kami semua memang yakin dia akan balik rumah, tidak sangka suami dibawa balik dalam van jenazah dan saat itulah Danisha meraung sekuat hatinya.

“Ketika itulah saya rasa seperti patah sayap sebelah,” luahnya.

Jelasnya, dia dan anak-anak disahkan bebas Covid-19. Tujuh beranak itu selesai menjalani kuarantin dan memotong gelang pengawasan hari ini.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0413241000065985.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI