fbpx

Industri perlu dijaga mereka yang benar-benar ambil kisah – Sofia Jane

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOFIA Jane berkata, industri perlu terus mencetuskan produksi yang bagus dalam memastikan banyak karya berkualiti dapat dihasilkan secara konsisten.

PETALING JAYA – “Untuk industri kita menjadi progresif, pertama sekali perlu dijaga oleh mereka yang benar-benar ambil kisah.”

Demikian jawapan yang diberikan pelakon berpengalaman, Datin Sofea Jane atau nama sebenarnya, Sofia Jane Hisham, 49, apabila ditebak pertanyaan tentang masa depan industri lakonan tanah air.

Katanya, tiada apa yang akan berubah andai industri kreatif dipegang oleh mereka yang tidak kisah tentang soal pembangunan dan kemajuan industri seni tanah air.

“Tiada apa yang akan berubah dan tiada apa yang akan bergerak (ke hadapan) kalau mereka yang ada kedudukan dan suara tapi tidak prihatin atau ambil kisah dengan industri kita.

“Kedua, kita harus mencetuskan produksi-produksi yang bagus. Saya tak nafikan sudah tengok banyak produksi berkualiti dari segi filem, drama televisyen dan pementasan tetapi tidak bersifat konsisten.

“Disebabkan hal itu, tiada anjakan untuk bergerak maju ke hadapan. Ya, orang tonton karya yang bagus itu tapi sebab tidak konsisten. Dilupakan dan kemudian, akan mengambil masa beberapa bulan dan mungkin bertahun untuk mereka muncul dengan karya yang lebih bagus.

“Jadi, syarikat produksi perlu konsisten dengan keberhasilan mereka dari segi karya yang berkualiti untuk terus bergerak progresif,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Sofia Jane berkata demikian pada sidang akhbar drama terbaharu Astro Originals berjudul I-Tanggang yang bakal menemui penonton mulai 13 September ini, setiap hari Isnin, pukul 9 malam di Astro Citra (saluran 108).

Artis Paling Popular Anugerah Bintang-Bintang Popular Berita Harian 1993 itu mendedahkan, cintanya terhadap bidang lakonan tidak pernah pudar walaupun kali terakhir terlibat dalam projek lakonan sekitar enam tahun lalu.

“Saya pulang ke Malaysia hujung tahun lalu. Enam tahun saya tinggal di Australia tapi cinta saya terhadap bidang lakonan tidak pernah pudar.

“Walaubagaimanapun, saya kembali aktif berlakon dan mengharapkan dapat bertemu dan menjalin kolaborasi dengan mereka yang mempunyai naskhah progresif dan relevan, ” katanya.

Selain Sofia Jane, I-Tanggang turut dijayakan oleh barisan pelakon handalan tanah air seperti Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazri, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja dan Zarina Zainuddin.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay iaitu penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI