fbpx
Sharifah Amani dan Syed Saddiq.

‘Dianaktiri buat sekian lama, tak perlu buat perbandingan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Interaksi ilmiah dalam gelanggang Twitter antara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pelakon berkaliber, Sharifah Amani mencuri perhatian netizen hari ini.

Syed Saddiq, 29, tampil mempersoalkan keputusan kerajaan yang membenarkan pembukaan industri hiburan terutama panggung wayang sedangkan aktiviti sukan seperti gimnasium dan padang bola dalam ruang terbuka bola masih kekal tutup.

“Wayang dah boleh buka tapi gimnasium dan padang bola yang ‘open air’ masih kekal tutup. Nampaknya kerajaan lebih pentingkan industri hiburan dari industri sukan dan kesihatan rakyat Malaysia.

“Saya tidak membantah pembukaan semula panggung wayang cuma tolong bantu yang lain juga sebelum semuanya terlambat,” ciap Saddiq mencetus polemik dalam kalangan netizen.

Amani membalas ciapan tersebut dan menegaskan bahawa tidak perlu ada perbandingan antara dua idustri itu kerana masing-masing sangat penting pada waktu sekarang.

“Kesihatan bukan hanya pada tubuh luaran. Kesihatan minda dan jiwa sangat penting jua.

“Sukan dan seni berjalan seiringan dalam menyembuhkan dan membaik pulih kita semua. Kedua-dua industri dianaktiri buat sekian lama. Tidak perlu membuat perbandingan, dua industri yang disebutkan itu sedang tenat,” getus Amani, 35.

Interaksi Twitter antara Syed Saddiq dan Sharifah Amani tentang pembukaan industri kreatif yang mendahului industri sukan selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam

Biarpun berdepan kecaman kerana membuat perbandingan dua industri tersebut, Saddiq pantas membuat permohonan maaf di atas keterlanjuran katanya menerusi ciapan tersebut.

“Saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak memperkecilkan sesiapa. Sejak tahun lalu, saya sudah mendesak untuk pembukaan semula industri berdasarkan data dan sains bukan berpolisi melulu hanya apabila rakyat dah marah.

“Seperti dikongsi sebelum ini, kita patut mengalu-alukan pembukaan (industri) seni dan hiburan termasuk sukan juga,” Ciap Saddiq.

Permohonan maaf dan penjelasan tersebut disambut baik pelakon filem Sepet yang kemudian membalas: “Terima kasih kerana mengakui dan memohon maaf YB. Saya bersetuju yang keputusan perlu dilakukan berdasarkan data dan sains.

“Pembukaan industri kita datang bersama keprihatinan dan isu-isu yang sudah didepani sejak bertahun-tahun. Perjuangan kami tetap diteruskan dan semoga dipermudahkan.”

Semalam, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan kembali bergiat semula dalam aktiviti seperti panggung wayang dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam, ‘indoor busking’ dan persembahan di ‘lounge’ hotel bermula esok.

Terbaharu, permohonan pembukaan sukan padang yang dikemukakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dibincang dan diputuskan pada sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Kesihatan.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui hantaran Twitternya tadi berkata, permintaan KBS bagi sukan padang adalah wajar dan berita baik berkenaan sukan padang akan diumumkan. – K! ONLINE