fbpx

4 kereta termasuk Lamborghini terbabit kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang terbalik selepas dilanggar sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini di Jalan Tun Razak awal pagi tadi. FOTO : IHSAN PEMBACA

KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini yang dipandu seorang lelaki tempatan terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Tun Razak menghala ke Bulatan Pahang awal pagi tadi.

Kejadian pada pukul 8.40 pagi itu turut melibatkan beberapa buah kenderaan lain sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kesemua pemandu kereta yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati, kereta mewah jenis Lamborghini yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun tersebut menghala ke Bulatan Pahang dari arah KLIA.

“Lelaki terbabit telah gagal mengawal kenderaan dan telah melanggar kereta jenis Proton Perdana yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun, menyebabkan kenderaannya terbalik.

“Kenderaan mangsa kemudiannya telah melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya. Antara kenderaan terlibat ialah Mazda, Nissan Serena, Ford Ranger,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan akan diteruskan sekiranya terdapat kenderaan lain yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Kita juga telah menjalankan ujian saringan air kencing serta alkohol terhadap pemandu Lamborghini tersebut dan keputusan adalah negatif.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu suatu kenderaan motor di jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya atau tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain,” jelasnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI