fbpx
Keadaan Tasik Aksehir yang kering akibat pemanasan global. - Hurriyet Daily News

Tasik kelima terbesar di Turki kini tanah gersang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA, Turki – Tasik kelima terbesar di Turki yang merupakan sumber air semula jadi di wilayah Konya kini kering kontang akibat pemanasan global dan penurunan kekerapan hujan sepanjang tahun ini, lapor portal Hurriyet Daily News, semalam.

Tasik Aksehir yang seluas 54 kilometer persegi dan pernah mempunyai kedalaman air sehingga lima meter kini seperti padang jarak padang tekukur apabila sumber airnya mengering.

Bercakap kepada Agensi Berita Demiroren, ahli akademik Universiti Teknikal Konya, Tahir Nalbantcilar, memaklumkan terdapat lapisan tanah yang retak di tengah-tengah tasik itu.

Tahir mengatakan salah satu faktor utama pengeringan tasik itu adalah disebabkan pemanasan global.

Namun begitu, terdapat juga kepincangan sistem penggunaan air bagi sektor pertanian di kawasan sekitar yang menyumbang kepada kejadian ini.

“Beberapa kolam air buatan manusia yang diwujudkan untuk tujuan pengairan ke tanah-tanah pertanian milik penduduk dengan benteng yang dibina di tebing sungai telah menyekat sumber air yang mengalir ke tasik ini.

“Sekiranya kerajaan tidak mengubah sistem penggunaan air semasa, mungkin kita perlu mengucapkan selamat tinggal kepada tasik itu buat selama-lamanya,” ujarnya. – Agensi