fbpx
Safwan menunjukkan PB yang berjaya diperolehinya dengan menggunakan popper.

Menebing peacock bass di tasik tadahan hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kewujudan PB di tasik berkedalaman antara satu hingga dua meter itu dipercayai berpunca daripada tindakan segelintir pihak yang melepaskan spesies ikan asing tersebut ke situ.

Lama-kelamaan, ikan PB mula membiak sehingga mendominasi tasik berkenaan.

Kehadiran ikan PB di dalam tasik ini hanya disedari oleh pemancing sekitar apabila mereka mengilat ikan haruan dan secara tidak sengaja dapat ikan ini.

Memandangkan PB juga me­rupakan spesies ikan pemangsa, maka ia sentiasa tertarik kepada gewang-gewang yang dimainkan.

Ia juga mempunyai daya me­­lawan yang cukup kuat, sekali gus menarik minat geng-geng pengilat untuk berkunjung ke situ.

Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang kaki mengilat, Safwan yang kerap menjadikan ikan PB sebagai buruan utamanya setiap kali turun ke situ.

“Sekarang hendak mencari ikan-ikan yang sudi menghentam gewang bukannya mudah, pemancing harus berbelanja besar dan menghabiskan masa berhari-hari untuk trip mengilat ikan pemangsa baik di laut, muara atau sungai dan tasik.

“Jadi, apabila ada lokasi yang berdekatan dengan tempat tinggal yang membolehkan saya melepas gian mengilat gewang pasti memudahkan hobi tercinta ini.

“Hari minggu atau cuti umum, malah sebaik balik dari pejabat, masih sempat mengilat.

“Malah, saya sendiri berasa puas apabila gewang yang dimainkan dibaham ikan pemangsa ini, terutama ketika mendengar bunyi drag berdesing akibat tali ditarik,” tambahnya.

Menebing
Bagi Safwan, cara terbaik untuk memburu PB di tasik berkenaan adalah dengan menebing (land based) terutamanya pada awal pagi dan lewat petang.

Hal ini kerana itulah masanya ikan PB paling aktif di tasik tersebut.

Tempat yang menjadi sasaran lontaran gewangnya adalah di kawasan berstruktur seperti akar reba-reba kayu di sekitar tebing tasik berkenaan.

Menurut Safwan lagi, PB gemar berlindung di kawasan tersebut sambil mengintai anak-anak ikan yang menjadi diet utamanya.

Jika air jernih boleh kelihatan ia keluar dari struktur ‘melibas’ ikan-ikan kecil yang melalui sekitar kubunya itu.

Bagi menarik PB keluar dari kawasan persembunyiannya, gewang topwater seperti pencil dan popper cukup efektif membuatkan ia marah.

Pada masa sama, gewang jenis minnow juga didapati cukup menjadi untuk PB.

Mungkin bentuk gewang itu yang menyerupai ikan perimpin yang menjadi diet utamanya membuatkan PB tidak segan silu membahamnya.

“Saya selalu guna gewang minnow warna natural. Di sini, gewang-gewang warna terang sudah tidak berapa ‘laku’ untuk PB, mungkin ia sudah tahu, akibat selalu tertipu dengan gewang warna itu,” ujarnya.

Kawasan tasik tadahan air yang menjadi tumpuan kaki pancing untuk memburu PB.

Set-up ultra-light
Set-up ultra-light sudah memadai untuk mengilat ikan PB di tasik ini. Joran berkekuatan antara 4 hingga 10 paun (lb) dan kekili Bait Finnese System (BFS), dikombinasikan dengan tali utama

berkekuatan sekitar 10lb, sudah cukup ampuh untuk melawan PB di sini.

Biarpun kebanyakan pemancing PB gemar menggunakan Corolina rig bersama soft plastic (SP), namun Safwan lebih selesa dengan gewang kategori berbadan keras (hard lure).

Ujarnya, bagi menarik perhatian PB, dia biasanya akan membuat karauan terus diselang-seli dengan sedikit sentapan (jerk) supaya gewang kelihatan seperti anak ikan sakit.

Sebaik PB menghentam gewang, biasanya ia akan terus me­­lawan dan berusaha membenamkan diri ke kawasan berstruktur.

Justeru itu, pemancing perlu cepat-cepat mengawal dan mengarau tali bagi mengelak ia masuk ke kawasan berstruktur sehingga boleh menyebabkan tali putus.

“Kebanyakan PB yang selalu saya dapat di sini adalah antara 40 hingga 50 sentimeter (sm) panjang.

“Besar itu sudah cukup untuk menaikkan adrenalin sesiapa sahaja ketika melawan dengannya.

“Ada hari baik saya boleh dapat sehingga lima ekor. Jika hari tidak menjadi, seekor pun tak dapat,” ujarnya.

Namun bagi kaki mengilat tegar sepertinya, bukan hasil menjadi keutamaan, sebaliknya nikmat melempar dan memainkan gewang sambil merehatkan minda itu lebih mengasyikkan.

Selain PB, tasik berkenaan turut dihuni oleh haruan dan lampam. Kedua-dua spesies itu boleh dianggap bonus jika dapat dipancing menggunakan gewang.

Memandangkan PB merupakan ikan asing bersifat pemangsa, maka Safwan biasanya akan membawa pulang hasil tangkapan bersaiz hidangan ke rumah sebagai lauk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN