fbpx
POKOK kelapa sawit yang ditanam di kawasan Hutan Simpan Kekal Ramsar Tasik Bera.

Penerokaan haram Ramsar Tasik Bera memalukan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERA – Penerokaan haram terhadap lebih 7,000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) di sini, disifatkan memalukan negara.

Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling (EQC) Prof. Dr. Maketab Mohamed berkata, pencerobohan itu boleh mengakibatkan kawasan yang diiktiraf sebagai tapak Ramsar menerima teguran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Malah katanya, lebih teruk, pengiktirafan Ramsar Tasik Bera berisiko ditarik balik UNESCO.

Katanya, tindakan terhadap Ramsar Sungai Pulai yang dikenakan teguran kerana terlalu banyak pembangunan boleh juga dikenakan kepada Ramsar Tasik Bera.

“Perkara ini amat menyedih­kan dan memalukan negara ­ke­rana ada pembangunan haram di dalam kawasan Ramsar Tasik Bera dan ia kehilangan kawasan tadahan air yang paling penting.

“Kawasan tadahan air menjadikan tasik, sama dengan kawasan tadahan sungai, alur air tanpa kawasan tadahan tidak bermakna apa-apa,” katanya yang mengulas mengenai pene­rokaan haram Ramsar Tasik Bera di sini semalam.

Prof. Dr. Maketab

Tapak Ramsar yang diiktiraf sejak 1994 itu kini berhadapan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah serta ­pelbagai tanaman lain.

Maketab berkata, ketiadaan kawasan tadahan air di sekeliling boleh menyebabkan kawasan tasik itu rosak termasuk daripada segi kualiti air serta hidupan flora dan fauna di tasik
berkenaan.

Katanya, kerosakan yang dilakukan di Tasik Bera adalah tidak wajar sama sekali kerana ia memusnahkan warisan negara yang boleh dibanggakan.

“Mana boleh kita hendak menjadikan Tasik Bera sebagai kawasan Ramsar tetapi masa sama merosakkan kawasan tadahan airnya,” katanya.

Tambahnya tindakan segera dan tuntas perlu dilakukan bagi menyelamatkan Tasik Bera de­ngan menghentikan penero­kaan dan mengambil semula kawasan tadahan air yang
dirosakkan.

Katanya, kawasan itu perlu ditanam balik dengan spesies pokok hutan tempatan yang sebelum ini hidup subur di kawasan tasik berkenaan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof Dr. Ahmad Ismail berkata, sekiranya lebih 7,000 hektar ­telah diteroka ia telah melebihi kawasan Tasik Bera sekali gus menunjukkan keadaan yang amat serius.

Beliau berkata, seharusnya tapak Ramsar yang mempunyai kepentingan global mesti dilin­dungi dan dipulihara.

“Kenapa kejadian seperti ini berlaku menjadi tanda tanya besar dan mencabar kewibawaan pihak penguasa tapak Ramsar dan komuniti Semelai Tasik Bera yang bertanggungjawab menjaga kestabilan dan kelestarian Tasik Bera,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN