fbpx

Geng Ahai sasar kedai elektronik kereta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Noor (dua dari kiri) menunjukkan barangan curi yang dirampas dalam sidang akhbar di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Satu kumpulan yang aktif melakukan jenayah pecah kedai barangan elektronik kereta dikenali sebagai Geng Ahai tumpas selepas tiga ahli mereka diberkas polis, Rabu lalu.

Kumpulan itu aktif melakukan jenayah di sekitar bandar ini malah dalam tempoh dua bulan sebanyak empat kes pecah kedai membabitkan kumpulan berkenaan dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tangkapan itu adalah susulan daripada satu laporan polis berkaitan kes pecah kedai barangan elektronik kereta di Air Putih, di sini pada 30 Ogos lalu.

“Siasatan awal kes berkenaan mendapati, pintu pagar bahagian hadapan kedai berkenaan telah terbuka dan mangga pintu juga diumpil selain keadaan dalam kedai berselerak.

“Pemilik kedai telah membuat pemeriksaan dan mendapati barang yang hilang adalah peralatan elektronik kereta dan pelbagai spanar dengan anggaran kerugian sebanyak RM50,000,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Menurutnya susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan telah menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan sekali gus menangkap suspek.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, pasukan khas terbabit berjaya menangkap tiga lelaki di rumah masing-masing di Air Putih dan Kampung Tengah, di sini, Rabu lalu.

“Selain itu, pasukan terbabit turut menemui beberapa peralatan pecah rumah serta pelbagai barangan elektronik kereta dipercayai dicuri di rumah suspek selain turut merampas sebuah kereta dipercayai dicuri di Johor.

“Hasil semakan mendapati, tiga suspek berusia 39 hingga 51 tahun itu masing-masing mempunyai 12, 18 dan 25 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah serta dadah dan mereka kini direman sehingga 7 September ini,”katanya.

Dalam pada itu Mohamad Noor berkata, dengan tertumpasnya Geng Ahai ini, pihaknya percaya polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah kedai di sekitar daerah ini selain satu kes curi kereta di Johor.

Katanya, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda dan sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Selain itu, ia juga akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI