fbpx

Tentera Gurkha ikut bertempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YAACOB (depan, kanan) bergambar bersama wakil IOW ketika ditemui di Kampung Lonek, Jempol baru-baru ini.

JEMPOL – Diserang hendap oleh tentera Indonesia sebaik tiba di Batu Lintang, Sarawak antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Lans Koperal Yaacob Ahmad sepanjang 21 tahun berkhidmat sebagai tentera.

Yaacob, 86, yang bertugas sebagai pemandu trak tentera berkata, kejadian itu berlaku sekitar tahun 1960-an semasa dia memandu sebuah trak de­ngan membawa sepasukan anggota tentera pada waktu malam.

“Situasi menjadi tegang apabila pasukan kami diserang hendap sebelum sampai ke kem utama di Sarawak. Kami kemudian dibantu tentera Gurkha dan kami bertempur bersama-sama,” katanya ketika ditemui di Kampung Lonek di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Yaacob yang me­nyertai tentera pada 1955 ditemui ketika menerima bakul rezeki Myfundaction sempena program ‘Info On Wheels’ (IOW) Merdeka di kediamannya.

Anak kelahiran Jempol itu turut berkongsi pengalaman ber­khidmat dalam Askar British Malaysia di Singapura selama dua tahun sebelum negara merdeka.

Beliau berkata, ketika di ­Singapura dia ditugaskan memandu trak yang membawa meriam dan senjata api selain perlu bersiap sedia jika ada pertempuran.

“Perasaan ketika itu bercampur baur juga, bimbang jika di­serang hendap oleh pengganas selain perlu sentiasa peka de­ngan keadaan sekeliling.

“Namun, saya bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku di Singapura sebelum saya ditempatkan di beberapa kem sekitar Kajang, Selangor, Sungai Besi, Kuala Lumpur dan tera­khir di Taiping, Perak pada tahun 1976,” katanya.

Dalam pada itu, Yaacob berkata, meskipun berada di Singapura ketika pengisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957, kegembiraan itu tidak dapat digambarkan sama sekali.

“Segala kepayahan dan usaha untuk menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah bukanlah satu tugas yang mudah, malah perlu berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

“Begitu juga dalam situasi negara dilanda pendemik Covid-19 ketika ini, masyarakat perlu sama-sama berusaha memerangi wabak ini tanpa rasa jemu selain bersikap optimis dalam mematuhi arahan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI