fbpx

Skuad boccia sasar Kejohanan Dunia 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEI LUN meraih pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara BC1. - MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

SKUAD boccia negara kini mahu mengorak pencapaian lebih jauh di kejohanan peringkat antarabangsa selepas meraih kejayaan pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerusi Chew Wei Lun dalam acara individu campuran BC1.

Dalam aksi final di Pusat Gimnastik Ariake semalam, Wei Lun menghadiahkan pingat perak buat kontinjen Malaysia selepas tewas 2-4 kepada juara dunia dari Great Britain, Adam Smith.

Jurulatih boccia negara, Aiman Hafizi Abu Bakar menyasarkan Kejohanan Boccia Dunia yang akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan sebagai sasaran.

Beliau bertekad untuk membantu anak-anak buahnya melayakkan diri buat julung kalinya ke Kejohanan Dunia 2022 selepas tercapai matlamat untuk mempopularkan sukan boccia dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Perancangan untuk sukan boccia selepas ini adalah kita mahu layak ke kejohanan dunia kerana Malaysia tidak pernah beraksi dalam mana-mana edisi sebelum ini.

“Ia adalah antara kejohanan terbesar seperti Paralimpik. Oleh itu, sasaran seterusnya adalah membawa skuad boccia negara ke kejohanan tersebut pada 2022,” kata jurulatih berusia 26 tahun itu.

Dalam masa sama, Aiman mengakui, beliau langsung tidak menjangkakan Wei Lun mampu melangkah ke final memandangkan sasaran awal mereka hanyalah mara ke suku akhir serta mempromosikan sukan tersebut.

“Secara peribadi, memang kita tak jangka dapat pingat kerana hanya letakkan sasaran ke suku akhir. Alhamdulillah kami berjaya mara ke final dan dapatkan pingat walaupun bukan emas,” ujarnya yang berasal dari Cheras.

Sementara itu, Wei Lun pula menegaskan, dia enggan terlalu memikirkan mengenai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 kerana menganggap masa masih panjang selain mahu berehat buat seketika. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI