fbpx

Dua pegawai Imigresen didenda mengaku bersalah terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI Imigresen, Mohamad Izhmi (tutup muka dengan pegang fail merah jambu) dan disebelahnya Muhammad Rushdi (pegang fail perang) dijatuhi hukuman denda seleps mengaku bersalah menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini. FOTO : MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Dua pegawai Imigresen yang pernah ditahan dalam Op Selat dijatuhi hukuman denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai RM13,300.

Mahkamah mengarahkan tertuduh pertama, Mohamad Izhmi Mohamad Nor, 35, didenda RM15,000 manakala tertuduh kedua Muhammad Rushdi Zainal, 27, dikenakan denda sebanyak RM6,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Jika gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP19 di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) boleh dihukum penjara 10 bulan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Izhmi didakwa menerima rasuah RM10,000 daripada Mohamad Jeffry Mohd. Zin tanpa suatu balasan yang mana dia mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh di Kedai Burger Aboi, Kampung Jijan di Nilai pada Oktober 2020.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Muhammad Rushdi didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu pertama telah diberikan wang suapan RM1,000 oleh Mohd. Shah Ezywan Abd. Rahman sebagai orang tengah untuk ejen warga asing bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah diberikan wang suapan RM2,300 oleh individu sama bagi tujuan sama.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad di Nilai ada 12 Ogos 2019 dan 20 Julai 2020.

Tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan itu yang melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 untuk melaporkan kesalahan pemberian wang berkenaan kepada SPRM mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau di penjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan bagi kedua-dua tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.  – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI