SUNGAI PETANI – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 memberi kesan teruk kepada golongan yang mengharapkan pendapatan harian terutama peniaga makanan.
Selain terpaksa beralih arah mencari kerja lain, mereka turut melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencari pendapatan bagi menyara keluarga.
Ahmad Syahir Abdul Rahman, 38, yang sebelum ini berniaga ayam goreng berkata, pandemik Covid-19 mengubah terus kehidupannya apabila dia terpaksa melakukan dua kerja dalam satu-satu masa.
“Perniagaan ayam goreng yang diusahakan sejak 2012 terpaksa ditutup sejak Mac tahun lalu selepas banyak sektor berkaitan dengan rantaian perniagaan ini tidak dibenarkan beroperasi.
“Sejak itu, saya kehilangan punca pendapatan tetap dan terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan kilang pada sebelah malam, manakala waktu siang saya menjual ikan,” katanya yang memiliki tiga anak.

Sementara itu, seorang mutawif di Seremban juga terpaksa beralih kepada perniagaan kaligrafi secara digital sebagai sumber pendapatan keluarga.
Mohd. Asri Sahalan, 45, berkata, kali terakhir dia bertugas sebagai mutawif membawa jemaah Malaysia menunaikan umrah adalah pada Februari 2020 dan selepas itu kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
“Apabila berlakunya pandemik Covid-19 saya perlu bertahan dengan apa yang ada memandangkan kerja mutawif tidak boleh dilakukan.
“Dengan bakat yang ada, saya cuba mencari alternatif baharu dengan menyediakan perkhidmatan kaligrafi Kufi secara digital melalui platform Facebook dan Instagram Asri Kufi,” katanya. -K! ONLINE














