KUALA LUMPUR – Gara-gara berang ditegur kerana membuang tin arak, seorang remaja lelaki bertindak agresif selepas dipercayai mencederakan penyelia pengawal keselamatan dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya mini di Cheras, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek berusia 15 tahun itu ditahan pada pukul 10.45 pagi hari kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 49 tahun menegur remaja lelaki tersebut kerana membuang tin arak di kawasan berkenaan.
“Suspek yang tidak berpuas hati melibas sebilah pisau sehingga menyebabkan mangsa luka di bahagian kiri perut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Salak South berjaya menahan suspek di lokasi kejadian.
“Polis merampas pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian. Semakan mendapati suspek tidak bersekolah dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah,” ujarnya.
Katanya, remaja itu direman sehari semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut. – KOSMO! ONLINE














