PETALING JAYA – Tindakan murni seorang pengawal keselamatan di Tasik Titiwangsa yang sanggup mengiringi seorang gadis berjalan kaki sehingga ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) berhampiran bagi memastikan keselamatannya mendapat pujian pengguna media sosial.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Hazzyfiles, pada awalnya, dia ingin berjalan kaki ke stesen MRT Titiwangsa kerana menyangka jaraknya tidak terlalu jauh.
Namun, niatnya itu dihalang oleh seorang pengawal keselamatan warga emas yang mengambil berat tentang keselamatannya sebagai perempuan.
“Ceritanya saya nak jalan kaki sebab tak jauh pun, tapi uncle (pak cik) ini kata biar dia teman sampai MRT guna jalan pintas sebab kalau jalan seorang bahaya sikit.
“Manusia sekarang ramai yang berniat jahat. Kamu pula perempuan,” kata pengawal keselamatan itu.
Tambahnya, pengawal keselamatan berkenaan menemaninya dengan mengayuh basikal sehingga dia tiba dengan selamat di stesen pengangkutan awam tersebut.
“Saya jalan kaki, dia kayuh basikal ikut pace (laju) jalan. Terima kasih uncle (pak cik) sebab pastikan saya selamat. Ayah siapa ni tolong sampaikan terima kasih,” ujarnya lagi.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna turut memuji keprihatinan pengawal keselamatan tersebut yang disifatkan mempunyai sifat pelindung seorang bapa terhadap anak perempuan.
“Terima kasih pakcik yang baik tolong jagakan anak dara ni…moga kebaikan pakcik dibalas dengan 1001 perkara baik setiap hari,” kata notanora25.
“Mesti dia ada anak perempuan, sebab itu dia risaukan awak. Untung anak uncle ni sebab bapa dia memang seorang yang bertanggungjawab,” jelas Eeeeeeeiiider pula. – KOSMO! ONLINE














