fbpx
Khidmat kaunseling antara usaha yang dapat dilakukan dalam menyelamatkan rumah tangga yang sedang bergolak. – GAMBAR HIASAN

Setiap minggu laki bini mahu cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Beberapa peguam syarie mendedahkan bahawa mereka menerima banyak panggilan daripada pasangan suami isteri yang mahu bercerai setiap minggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Masalah kewangan, suami berubah menjadi panas baran dan tiada kesefahaman antara luahan yang kerap didengar daripada pasangan yang ingin memfailkan perceraian di mahkamah.

Peguam syarie dan peguam bela, Faisalludin Mohamad Yusuff mendedahkan, secara puratanya, beliau menerima kira-kira tiga ke empat panggilan setiap minggu daripada individu yang ingin mendapatkan pandangan tentang urusan perceraian.

“Jumlah ini boleh dikatakan sebagai satu peningkatan jika dibandingkan dengan tempoh sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Antara penyumbang utama kepada penceraian adalah masalah kewangan sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan antara pasangan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Faisalludin berkata, masalah kewangan terjadi apabila suami tidak lagi mampu menyediakan keperluan asas akibat kehilangan pekerjaan atau perniagaan terjejas selain dibebani hutang serta komitmen bulanan yang tinggi.

“Semua masalah yang dinyatakan itu pula berlarutan selama beberapa bulan sehingga akhir­nya menjurus kepada keputusan nekad untuk berpisah.

“Kebanyakan urusan perceraian yang diuruskan oleh saya adalah keputusan bersama pasangan untuk berpisah selepas mereka merasakan tiada lagi persefahaman,” ujarnya.

Beliau memberitahu, selain mahu berpisah, beliau turut dihubungi oleh pasangan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat bagi menyelamatkan bahtera perkahwinan mereka.

“Minggu lalu saya ada dihubungi oleh seorang wanita yang memaklumkan suaminya hilang semangat untuk hidup selepas diberhentikan kerja oleh syarikat.

“Si isteri masih sayangkan ikatan yang terbina, namun tidak tahu bagaimana mahu meneruskannya dalam keadaan suami sebegitu, malah terpaksa menjadi tulang belakang keluarga dengan bekerja seorang diri.

“Dalam kes-kes sebegini, pasangan berkenaan disaran untuk mendapatkan bantuan pakar kaunseling atau pihak yang boleh membantu menyelesaikan masalah kewangan,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Mohd. Syafiq Norizan juga mengakui pihaknya sering dihubungi pasangan yang ingin mendapatkan pandangan berkaitan prosedur perceraian sepanjang PKP.

“Boleh dikatakan setiap ming­gu akan ada pasangan yang bertanyakan tentang hal ini, malah ada yang memaklumkan telah pun terlepas lafaz cerai dalam pertengkaran.

“Jika belum bercerai, pasa­ngan terbabit diminta untuk mendapatkan khidmat kaunseling terlebih dahulu bagi me­ngenal pasti masalah sebenar dalam hubungan mereka sebelum meneruskan keputusan untuk berpisah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN