fbpx

Elak ambil Ivermectin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ubat Ivermectin di Malaysia biasanya dikhaskan untuk kegunaan merawat haiwan.
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

PANDEMIK Covid-19 yang kini berlarutan hampir dua tahun ternyata memberi impak yang amat besar kepada setiap individu. Pelbagai langkah diambil oleh individu bagi mencegah penularan wabak ini termasuklah pengambilan ubat Ivermectin.

Kesan daripada itu, Pusat Racun Negara baru-baru ini mengesahkan pihaknya menerima dua kes keracunan yang diakibatkan oleh pengambilan Ivermectin.

Akibat pengambilan sebiji pil Ivermectin, seorang pengguna mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilannya.

Dalam satu lagi kes, seorang warga emas ditemui tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji pil Ivermectin sekali gus.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, secara fakta Ivermectin ini memang digunakan oleh manusia untuk merawat masalah infeksi parasit.

“Ubat ini selamat untuk digunakan, tetapi tetap mempu­nyai kesan sampingan. Ivermectin boleh digunakan untuk merawat masalah-masalah tertentu tapi harus mengikut dos yang sesuai.

“Bagi Covid-19 pula banyak kajian di seluruh dunia yang membuktikan Ivermectin memberi kesan untuk mencegah atau mengurangkan keseriusan masalah ini. Tetapi ada juga kajian yang mengatakan ia tidak berkesan,” katanya.

Tambahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa pertubuhan kesihatan lain buat masa ini hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 untuk tujuan klinikal sahaja.

Namun begitu, ada juga pertubuhan kesihatan di Amerika Syarikat yang mendakwa Ivermectin ini boleh digunakan tetapi dengan nasihat dan preskripsi doktor.

Zainal Ariffin menambah, buat masa ini di Malaysia, Ivermectin masih tidak berdaftar dan jika ada pengguna yang menggunakannya, ia dijual secara tidak sah.

Menurutnya, Ivermectin ini memberi kesan sampingan jika diambil dalam dos yang tinggi.

“Ia boleh menyebabkan kerosakan hati, kerosakan sistem saraf dan kerosakan buah pinggang jika diambil secara berlebihan.

“Selain itu, jika diambil dalam jumlah yang tinggi dalam tempoh masa yang lama boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk termasuklah kematian,” terangnya.

Dalam pada itu, Pusat Racun Negara dalam kenyataannya menjelaskan, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Namun begitu, didapati ada aktiviti penjualan ubat ber­kenaan secara tidak sah yang sedang berlaku.

“Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.

“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening, manakala kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru dan kematian,” jelasnya.

Tambahnya, setakat ini tiada sebarang antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan sebegitu. Oleh itu orang ramai dinasihat untuk mengelakkan pengambilan Ivermectin bagi melakukan rawatan kendiri.- K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI