fbpx

Jangan mudah selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik bukti Malaysia tidak ketandusan pemain berkualiti
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SATU pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini boleh dianggap sebagai pencapaian memuaskan yang dicatat skuad badminton negara.

Biarpun edisi kali ini me­nyaksikan ketiadaan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang bersara, namun pemain-pemain muda negara sudah menunjukkan permainan membanggakan.

Justeru, penulis berpendapat arena badminton negara sudah berada pada landasan tepat untuk kembali mendapatkan status sebagai salah satu kuasa besar sukan badminton dunia sebaris China dan Indonesia.

Tidak dinafikan, ramai pihak mula meletakkan harapan menggunung, terutamanya kepada Aaron-Wooi Yik serta perseora­ngan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia untuk melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.

Meskipun Zii Jia hanya menamatkan saingan Sukan ­Olimpik sebelum ini di peringkat kalah mati, namun dia sudah membuktikan kemampuan apabila menjuarai kejohanan Seluruh England (All England) Mac lalu.

Mereka disebut-sebut akan mencapai kemuncak prestasi pada Sukan Olimpik Paris 2024, namun bagi penulis pemain-pemain ini perlu lebih berwaspada dan jangan berada dalam kea­daan selesa kerana negara-negara lain tidak akan duduk diam.

Seperti semua sedia maklum, dalam tempoh ke arah Sukan ­Olimpik 2024, negara kuasa besar lain terutamanya China sudah pasti akan menghasilkan barisan pemain yang mampu mencabar kejuaraan, sama seperti dilakukan sebelum ini.

Walaupun masih ada masa lebih kurang tiga tahun setengah sebelum Sukan Olimpik Paris, namun wira-wira negara sudah boleh melakukan persiapan bermula sekarang bagi memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya pemain-pemain negara memiliki potensi untuk meningkatkan kualiti permainan, lebih-lebih lagi banyak kejohanan yang perlu diharungi selepas ini termasuk Piala Thomas serta Piala Sudirman.

“Secara purata, pemain-pemain di BAM berusia 23 dan 24 tahun. Oleh itu, ia memberi ruang kepada pemain untuk bersaing di pentas antarabangsa bagi tempoh masa yang lama. Ia sesuatu yang positif untuk kita.

“Memandangkan kita masih ada masa sebelum Sukan Olimpik 2024, saya percaya pemain-pemain kita boleh gunakannya untuk perkembangan mereka. Kita ada banyak kejohanan penting selepas ini seperti Piala Thomas dan Piala Sudirman,” kata bekas perseorangan lelaki No.1 dunia itu.

Dalam pada itu, penulis juga percaya corak permainan pemain-pemain ini akan menjadi lebih matang memandangkan mereka akan bersaing dengan jaguh-jaguh terbaik dunia sepanjang tempoh persediaan ke ­Olimpik 2024.

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem berharap, pemain-pemain negara terutama­nya Aa­ron-Wooi Yik supaya meneruskan aksi cemerlang dalam kejohanan-kejohanan akan datang.

“Apa yang boleh saya katakan, permainan mereka sudah semakin baik dan matang. Saya harap mereka boleh kekal ber­aksi seperti itu dan jangan rasa selesa dengan kedudukan sekarang,” ujarnya.

Sekiranya pemain-pemain negara boleh mengekalkan aksi konsisten, latihan yang mantap selain mengelakkan kecederaan, penulis percaya Malaysia mampu menjadi pencabar utama pingat emas ketika temasya Sukan O­limpik Paris 2024.

Selepas mengharungi saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang cukup mencabar, skuad badminton negara kini dalam fasa persiapan untuk menghadapi saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada Oktober depan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI