fbpx

China hukum pegawai gagal kawal Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap seorang penduduk warga emas di sebuah rumah di Nantong, wilayah Jiangsu, Ahad lepas. – AFP

BEIJING – Sebilangan pegawai pentadbiran di China dihukum kerana gagal mengekang penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan hampir 900 jangkitan simptomatik di seluruh negara dalam tempoh kurang sebulan, lapor akhbar Bangkok Post semalam.

Bandar Yangzhou di timur China mengeluarkan amaran kepada lima  pegawainya  kerana gagal mengendalikan ujian saringan besar-besaran dengan betul sehingga dikatakan menyebabkan virus itu berterusan menular.

Selain itu, lebih  30 pegawai di seluruh China terdiri daripada datuk bandar, pengarah kesihatan tempatan, ketua hospital dan lapangan terbang turut dihukum kerana cuai  serta gagal menangani  wabak itu dengan baik.

China kini berdepan penularan Covid-19 terburuk sejak wabak itu mula tercetus di Wuhan pada Disember 2019. Wabak terbaharu ini telah menular di lebih separuh daripada 31 wilayahnya.

Meskipun sebahagian besar penduduk China telah divaksinasi, pihak berkuasa tetap melakukan ujian saringan besar-besaran dan melaksanakan perintah berkurung secara bersasar bagi mengekang virus tersebut.

Di Wuhan, angka jangkitan meningkat sehingga memaksa pihak berkuasa melakukan ujian saringan ke atas 11.3 juta penduduk pada hujung minggu lepas.

Sementara itu, wilayah Henan yang baru pulih daripada bencana banjir besar yang membunuh lebih  300 penduduk pada Julai lepas turut merekodkan kenaikan kes dengan satu kluster berpunca dari sebuah hospital di bandar Zhengzhou kini menular ke lokasi-lokasi lain.

Setiausaha Parti Komunis Wilayah Henan, Lou Yangsheng sebelum ini berikrar untuk menghentikan wabak itu di wilayah tersebut menjelang akhir bulan ini.

Susulan itu, beliau menggesa para pegawai untuk melaksanakan langkah-langkah sekatan untuk mengawal dan mencegah Covid-19 di kawasan pedalaman. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI