fbpx

Covid-19 meletus semula di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di bandar Xian, wilayah Shaanxi. - AFP

BEIJING – Lebih 100 juta orang dikenakan perintah berkurung di serata China kelmarin, manakala premis perniagaan ditutup selepas kluster baharu Covid-19 mencetuskan kebimbangan pe­laksanaan sekatan akan lebih meluas.

Pihak berkuasa China mela­porkan lebih 300 jangkitan di bandar bersejarah Xian dengan kluster baharu turut dikesan di Shanghai, Beijing dan beberapa tempat lain.

Di Shanghai, pihak berkuasa melakukan  ujian saringan massa baharu di lebih separuh daripada keseluruhan daerahnya selepas kes meningkat semula sejak hujung minggu lalu. Semua bar karaoke ditutup selepas sebilangan jangkitan dikaitkan de­ngan premis hiburan.

“Rakyat tidak lagi takut pada Covid-19, mereka sebaliknya takut dikurung di kediaman ma­sing-masing,” kata seorang penduduk bernama Yao.

Bank Jepun, Nomura meng­anggarkan sekurang-kurangnya 114 juta penduduk dikenakan perintah berkurung sepenuhnya atau separa di seluruh China setakat Isnin lalu, peningkatan mendadak berbanding 66.7 juta orang minggu lalu.

Lonjakan kes Covid-19 itu memberikan cabaran baharu kepada Presiden Xi Jinping yang mengulangi komitmennya kepada strategi sifar Covid walaupun  semakin memberi kesan kepada ekonomi negara.

Di Xian yang mempunyai popu­lasi 13 juta, penduduk bandar itu diletakkan di bawah ‘langkah kawalan sementara’ selepas 29 jangkitan dikesan sejak Sabtu lalu, kebanyakannya dalam kala­ngan pekerja kitar semula.

Media pemerintah memaparkan penduduk Xian beratur panjang untuk menjalani ujian sari­ngan pada Selasa lalu.

Pegawai-pegawai menyalahkan subvarian Omicron, BA.5.2 yang lebih mudah berjangkit sebagai punca letusan wabak terbaharu itu.

“Semua jangkitan berpunca daripada BA.5.2, manakala kerja-kerja epidemiologi masih dijalankan sepenuhnya,” kata pegawai kesihatan Xian, Ma Chaofeng pada satu taklimat media.

Kluster terbesar adalah di wilayah Anhui, tengah China di mana lebih 1,000 jangkitan direkodkan sejak minggu lalu.

Berpuluh-puluh kes juga dilaporkan di wilayah Jiangsu yang berjiran dengan Shanghai dan mengancam kawasan pengila­ngan Delta Yangtze. 

Di Beijing, pegawai-pegawai menyatakan kelmarin bahawa varian BA.5.2 juga dikesan di ibu kota China tersebut tetapi wabak masih terkawal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Beijing akan mengetatkan syarat vaksinasi bermula 11 Julai ini, kata pegawai kesihatan, Li Ang kepada pemberita.

Menurutnya, pelawat di tempat seperti muzium, pusat sukan, perpustakaan dan panggung wa­yang wajib divaksinasi me­lainkan mereka diberikan pengecualian. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI