fbpx
Orang ramai dilihat menjerit dan saling menolak ketika cuba melarikan diri dari bangunan tersebut sebelum pintu ditutup. – Twitter @fangshimin

Ikea Shanghai diarah ‘dikurung’, pengunjung lari bertempiaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING – Pengunjung sebuah pusat beli-belah Ikea di Shanghai bertempiaran lari  keluar pada   Sabtu lalu selepas pihak berkuasa mengeluarkan arahan perintah berkurung terhadap bangunan berkenaan, lapor stesen penyiaran CNN.

Perintah itu dikeluarkan berikutan  seorang kontak rapat pesakit Covid-19 didapati berada di premis itu.

Berdasarkan beberapa rakaman  video yang dikongsikan di media sosial, orang ramai dilihat menjerit dan saling menolak antara satu sama lain ketika cuba melarikan diri dari bangunan tersebut sebelum pintu-pintunya ditutup.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Shanghai, Zhao Dandan berkata, pusat beli-belah itu dan kawasan sekitarnya ditutup dan dikawal ketat selama dua hari bagi mengekang jangkitan koronavirus.

Situasi itu  bermaksud  mereka yang berada di dalam perimeter berkenaan perlu menjalani prosedur kuarantin selama dua hari di sebuah kemudahan kerajaan dan melakukan pemantauan kesihatan selama lima hari.

Pusat beli-belah Ikea di daerah Xuhui itu ditutup sementara pada Ahad dan Isnin lalu sebagai mematuhi terhadap garis panduan pencegahan epidemik daripada pihak berkuasa.

Ia bagaimanapun telah dibuka semula semalam (Selasa), kata jabatan komunikasi Ikea China kepada CNN.

Pihak berkuasa bandar raya Shanghai melaporkan enam kes Covid-19 jangkitan tempatan kelmarin   dengan lima kes didapati  tidak bergejala.

Shanghai yang merupakan hab kewangan China dan mempunyai kira-kira 25 juta penduduk, dikenakan perintah berkurung selama dua bulan pada awal tahun ini.

Langkah itu mencetuskan kemarahan penduduk yang berdepan  kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan harian termasuk makanan dan ubat. – Agensi 

POPULAR