fbpx

Penduduk China diarah buka mel pakai pelitup muka, sarung tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA menyusun bungkusan di sebuah pusat pengedaran JD.com di Beijing pada 16 Julai 2020. – AFP

BEIJING – Pihak berkuasa China menggesa penduduk negara itu untuk memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika membuka bungkusan mel, terutamanya bagi barangan yang dipos dari luar negara, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Arahan itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa mengumumkan bahawa kes pertama varian Omicron yang dikesan di Beijing sebelum ini berkemungkinan ditularkan menerusi sebuah bungkusan yang berasal dari Kanada.

Susulan itu, pihak berkuasa berikrar untuk meningkatkan proses disinfeksi bungkusan dari luar negara dan menggesa agar barisan pekerja pengeposan wajib menerima vaksinasi lengkap.

“Orang ramai perlu meminimumkan pembelian barangan atau penerimaan mel dari luar negara.

“Pastikan anda melindungi diri ketika menerima bungkusan dengan memakai pelitup muka serta sarung tangan, selain membuka bungkusan di kawasan terbuka,” kata stesen penyiaran tempatan, CCTV dalam satu hantaran di media sosial.

Menurut pegawai kesihatan, individu yang dijangkiti varian Omicron di Beijing tersebut membuka bungkusan dari Kanada yang dihantar melalui Amerika Syarikat dan Hong Kong. 

Disebabkan itu, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bahawa penularan virus Covid-19 boleh berlaku menerusi bungkusan.

Beijing melaporkan kes baharu Covid-19 melibatkan varian Omicron pada 15 Januari lalu. Pesakit tersebut didapati tidak melakukan perjalanan keluar dari Beijing dalam tempoh 14 hari atau mempunyai kontak rapat dengan mana-mana kes positif. 

Ia sekali gus membuatkan pihak berkuasa mengesyaki bahawa terdapat kemungkinan penularan berlaku menerusi bungkusan barangan.

Sementara itu, Biro Pos Negara pada Isnin lalu mengeluarkan notis yang memaklumkan bahawa mel dari luar negara perlu menjalani proses disinfeksi sejurus tiba di China.

China telah melaksanakan pelbagai sekatan ketat Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan ini bagi mengawal kenaikan kes menjelang penganjuran temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI