fbpx

Pesona si hero jahat, Ji Sung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JI SUNG

SEJAK ditayangkan bermula 3 Julai lalu, naskhah The Devil Judge terbitan stesen tvN selalu menjadi perbincangan hangat dalam kalangan peminat K-drama dek kekuatan naratif dan ‘godaan’ cemerlang dalam setiap episod.

Naskhah berkenaan mengisahkan kekacauan yang melanda rakyat apabila rata-ratanya secara terbuka menonjolkan kebencian terhadap pemimpin, dalam masa sama cuba mengenepikan undang-undang.

Situasi tersebut lantas membuatkan seorang ketua pendakwa raya, Kang Yo-han mahu melakukan perubahan dengan mengendalikan mahkamah seperti sebuah rancangan realiti dan menghukum pesalah secara terbuka tanpa toleransi, sekali gus mengundang jolokan ‘devil judge’ terhadapnya.

Selain faktor jalan cerita menarik dan mendebarkan, kriteria lain yang menjadi nilai tambah untuk drama arahan Choi Jung-kyu berkenaan mudah menangkap perhatian ramai adalah kehadiran sosok aktor serba boleh, Ji Sung menjayakan peranan utama iaitu Kang Yo-han.

Selain Ji Sung, The Devil Judge turut menampilkan penyanyi kumpulan GOT7 iaitu Jin-young yang membawakan watak Kim Ga-on. Menemani kedua-dua mereka pula aktres Kim Min-jung (Jung Sun-a) dan Park Gyu-young (Yoon Soon-hyun).

Naskhah tersebut yang kini mencatat rating tinggi setiap kali tayangan memaparkan konsep ‘dystopia’ iaitu berlatarkan masyarakat yang sedang berdepan sesuatu penderitaan atau ketidakadilan maha dahsyat.

FAKTA menarik tentang The Devil Judge ialah jalan ceritanya mendapat sentuhan daripada bekas hakim, Moon Yoo-seok yang merupakan penulis skrip dan cerita asal naskhah Ms. Hammurabi (2018).

Protagonis jahat

Sepanjang lebih dua dekad menjadi pelakon, Ji Sung sering dipotretkan dengan watak serius dan lelaki kaya, jarang dia membawakan karakter periang atau lucu.

Sama seperti Yo-han, pemilik nama sebenar Kwak Tae-geun itu masih tidak dapat lari daripada skeptikal watak serius yang juga dilihat dari kaca mata penonton sebagai pembawaan karakter yang tipikal.

Biarpun begitu, ada satu hal dalam diri aktor versatil itu yang bernama magis.

Dia berupaya menjayakan setiap watak tipikal seriusnya dengan begitu cemerlang, sekali gus meninggalkan persembahan kualiti lakonan yang sukar dilupakan peminat.

“Kang Yo-han ialah hakim yang menghukum pesalah dengan cara kejam. Sejujurnya, saya sangat tertarik dengan konsep cerita ini dan berminat menjadi sebahagian daripadanya.

“Penulis skrip memberitahu, selepas menulis cerita tentang hakim yang baik dalam drama Ms. Hammurabi, dia mahu mencipta jalan cerita yang jauh berbeza seperti Joker atau Batman, digambarkan dalam dunia fiksyen.

“Akhirnya dia berjaya melakukannya dalam bentuk siri,” ujar Ji Sung seperti memetik laporan Metro Style.

MEMULAKAN langkah dalam bidang lakonan sekitar hujung 1990-an, Ji Sung mula menempa nama dan populariti selepas muncul dalam drama All In pada 2003.

Kemunculan terkini bapa kepada dua cahaya mata itu dalam The Devil Judge mencuri tumpuan atas kualiti lakonannya yang luar biasa menerusi watak Yo-han yang sarat elemen ‘dark hero’.

Dilambung pujian, namun ada kisah yang dilalui Ji Sung sebelum dia benar-benar mampu meresap watak Yo-han dengan baik.

“Mulanya, saya mengalami kesukaran mendalami watak Yo-han. Sebab awalnya, saya fikir dia seorang yang baik tetapi dirasuk kejahatan, tetapi sebenarnya dia memang jahat.

“Bergantung kepada perspektif ramai, watak jahat Yo-han bukan sekadar menarik tetapi sangat menyedihkan dan menyakitkan,” ujarnya yang terdorong menjadi pelakon kerana mengagumi aktor hebat Hollywood, Dustin Hoffman.

Yoo-seok dalam satu temu bual pula mendedahkan alasan utama mengapa kaca matanya tertumpu terhadap kemampuan Ji Sung untuk memegang watak Yo-han.

“Sebagai seorang aktor yang mempunyai jangkauan transformasi sangat luas, Ji Sung mampu menangkap pelbagai ekspresi wajah Yo-han yang sukar diprediksi,” katanya.

Saat Ji Sung muncul dengan The Devil Judge, isterinya si aktres terkenal Lee Bo-young terlebih dahulu menjadi bualan apabila kembali menghiasi televisyen menerusi drama Mine yang mengakhiri siaran pada 27 Jun lalu.

Pasangan itu sebelum ini menyusun jadual karier dengan teliti agar tidak berlaku pertindihan memandangkan mereka perlu mengambil giliran menjaga anak-anak di rumah.

“Ini pengalaman baharu untuk kami sebagai ibu dan bapa, sekali gus memberi cabaran untuk dihadapi. Sebenarnya saya agak sedih kerana tidak dapat meluangkan lebih masa bersama anak-anak.

“Tetapi saya fikir, setiap projek yang kami lakukan merupakan fasa baharu dalam karier masing-masing. Kami mahu bekerja keras dan pada masa sama saling menyalurkan sokongan,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Bo-young pada 2013.

DRAMA The Devil Judge menyaksikan padanan semula Ji Sung dan Min-jung selepas kali terakhir bergandingan dalam New Heart pada 2008,
13 tahun lalu.

Watak ikonik

Siapa sangka, kehadiran semula aktor berusia 44 tahun itu di layar kecil mengimbas kembali memori penonton terhadap satu watak paling ikonik pernah dijayakannya sebelum ini.
Yo-han dilihat sebagai cerminan watak jahat, Shin Se-gi menerusi drama Kill Me, Heal Me pada 2015.

Menerusi naskhah gandingan bersama aktres Hwang Jung-eum berkenaan, Ji Sung memegang watak sebagai seorang pewaris sebuah syarikat gergasi yang bergelut dengan penyakit kecelaruan identiti disosiatif atau dissociative identity disorder (DID) bernama Cha Do-hyun.

Lebih dramatik, dia bergelut dengan enam personaliti berbeza iaitu Shin Se-gi, Perry Park, Ahn Yo-seob, Ahn Yo-na, Na Na dan Mr. X.

Drama tersebut telah melonjakkan lagi nama Ji Sung sekali gus mengangkat aktor itu sebagai pemenang anugerah utama pada Anugerah Drama MBC pada 2015.

Di sebalik populariti dan puja-puji penonton, kemunculan Ji Sung dalam drama Kill Me, Heal Me begitu berbekas dalam ingatan penonton gara-gara dua watak paling ikoniknya iaitu Se-gi dan Yo-na.
Se-gi merupakan personaliti alter ego dan merupakan karakter antagonis yang menelan semua penderitaan Do-hyun.

MENGAKUI seorang yang pemalu dan pendiam, namun watak lelaki periang dan ceria yang pernah dijayakan menerusi New Heart (2007-2008) disifatkan Ji Sung telah menyerlahkan sisi berbeza dalam dirinya.
– Instagram tvN

Meskipun jahat dan ganas, namun dia tidak pernah mencederakan kanak-kanak dan wanita.

Sementara satu lagi watak paling diingati adalah Yo-na, personaliti gadis berusia 17 tahun dengan uniform sekolah dan penyepit rambut berwarna merah jambu yang nakal serta sangat menggilai artis idola kacak.

Setiap kali muncul, Yo-na yang menyukai kembar Oh Ri-jin (Jung-eum) iaitu Oh Ri-on lakonan Park Seo-joon gemar membuat kacau dengan babak kenakalan yang masih diingati peminat.

Lucu dan menghiburkan. Atas faktor itulah, Ji Sung membawa pulang anugerah Pasangan Terbaik bersama Seo-joon pada Anugerah Drama MBC 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI