fbpx
Seramai 16 orang jemaah termasuk kanak-kanak menunaikan solat maghrib berjemaah di Surau Batu 6 Tok Kaya, Pengkalan Chepa kelmarin.

Polis siasat 16 jemaah surau di Pengkalan Chepa langgar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Polis membuka kertas siasatan berhubung kes 16 jemaah lelaki termasuk beberapa orang kanak-kanak yang dipercayai menunaikan solat maghrib di Surau Batu 6 Tok Kaya, Jalan Sabak, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, anggota polis bergegas ke surau itu kira-kira pukul 9 malam selepas menerima maklumat mengenai jemaah surau berkenaan yang menunaikan solat tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, sebaik tiba di surau berkenaan, kebanyakan jemaah sudah pulang ke rumah, namun polis sempat bertemu dengan beberapa orang ahli kariah yang berada di situ.

“Siasatan awal mendapati, kesemua jemaah itu tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini kerana menunaikan solat secara berjemaah di surau berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, polis akan mengambil keterangan daripada 16 jemaah terbabit dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Abdul Rahim, beliau juga memohon orang ramai atau penduduk setempat di kawasan itu agar menyalur maklumat kepada polis dengan segera untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mengeluarkan arahan bahawa hanya empat orang jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan surau dibenarkan menunaikan solat fardu sepanjang tempoh PKP penuh bermula 1 Jun lalu.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR