fbpx

Enam Ahli Parlimen selesai beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (kiri) dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua dari kanan) melambai ke arah wakil media ketika menuju untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan ahli parlimen pembangkang pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini. -Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Enam Ahli Parlimen selesai memberi keterangan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng merupakan individu pertama yang hadir bagi memberi keterangan disusuli Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Kesemua mereka yang hadir memberi keterangan secara bergilir bermula pada pukul 10 pagi hingga 3.30 petang mengatakan telah memberi kerjasama yang baik sepanjang proses berkenaan berlangsung.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 206 laporan berhubung perhimpunan oleh ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada Isnin lalu.

Sehubungan itu satu kertas siasatan dibuka bagi laporan yang diterima dan akan memanggil individu yang terlibat bagi melengkapkan kertas siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574). – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI