fbpx
VARIASI kek roti jala gaya moden yang menggunakan daya kreativiti.

Transisi roti jala, kuih tradisional jadi pengganti kek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUNTUMAN bunga-bunga rona merah jambu dan kuning yang tersusun kemas di dalam kotak dengan tulisan selamat hari lahir di atasnya mencuri perhatian penulis.

Sekali pandang, penulis sangkakan ia merupakan kuntuman bunga asli, tetapi siapa sangka, ia sebenarnya merupakan roti jala, kuih tradisional masyarakat Melayu yang popular sejak dahulu lagi.

Sajian tradisional dengan tekstur berlubang yang lazimnya berwarna kuning digulung berbentuk silinder itu sering dihidangkan bersama kuah kari ayam atau serawa durian sebagai jamuan minuman petang.

Seiring dengan peredaran zaman, roti jala kini diberi nafas baharu apabila ia dimodenkan dengan variasi bentuk menarik dan berwarna-warni sehingga dijadikan sebagai pengganti kek-kek keraian seperti hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.

Boleh dikatakan, fenomena roti jala yang unik ini begitu menjadi-jadi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini walaupun ia mula diketengahkan sekitar pertengahan tahun lalu.

Ramai terutamanya golongan wanita yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti membuat roti jala ini. Istilah ‘menjala’ merujuk kepada kerja-kerja membuat roti jala bahkan menjadi begitu sinonim dalam kalangan komuniti peminat dan pembikin roti jala pada masa ini.

NOORUL HUDA bersama roti jala moden yang berwarna-warni.

Transisi moden yang dikenali sebagai roti jala jelita itu dipercayai mula dicetuskan seorang guru sains dari Kedah, Noorul Huda Ayob, 39, pada Julai tahun lalu.

Bercerita kepada K2, menurut guru di Sekolah Kebangsaan Pendang ini, minatnya terhadap sesuatu yang cantik selain gemar memakan roti jala menjadi inspirasi buatnya menghasilkan roti jala gaya baharu itu.

“Saya memang sukakan roti jala. Pantang ada menu kari ayam di dapur, saya pasti akan menjala kerana kebetulan, suami dan anak-anak juga suka makan roti jala bersama kari ayam.

“Pada PKP pertama tahun lalu, setiap hari, saya akan memuat naik apa yang dimasak di laman sosial Instagram termasuklah roti jala jelita. Tidak sangka pula, ia mencuri perhatian rakan-rakan,” katanya.

Apabila guru-guru dibenarkan untuk kembali ke sekolah, wanita yang popular dengan panggilan Cikgu Huda ini juga sering membawa roti jala jelita untuk dimakan bersama guru-guru lain.

Air tangan ibu kepada tiga cahaya mata ini mula terkenal di Pendang selepas rakan-rakannya memuat naik roti jala jelita di laman sosial Facebook masing-masing kerana tertarik dengan kelainan roti jalanya yang berbentuk ros dan berwarna merah jambu.

Melihatkan maklum balas yang diterima, Cikgu Huda kemudian memberanikan diri memuat naik roti jala jelita di kumpulan-kumpulan tular di Facebook pada masa itu seperti Masak Apa Hari Ni dan Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official.

ROTI jala kini turut dibentuk menjadi bunga-bungaan.

Tanpa disangkanya, wanita kelahiran Jitra ini menerima ribuan mesej yang bertanya mengenai roti jala jelita sehingga ada yang memintanya membuka kelas online demi menuntut ilmu pembuatan roti jala moden itu.

Cikgu Huda kemudian membuka kelas jarak jauh menerusi Facebook yang dikenali sebagai PJJ JALAJELITA. Bukan semudah yang disangka, wanita ini mengambil masa dua bulan untuk membina modul pembelajaran dalam bentuk video berserta nota-nota lengkap sebelum membuka kelas dalam talian pada 14 November lalu.

Menerusi kaedah pembelajaran itu juga membolehkan anak muridnya mengakses bahan rujukan di dalam kumpulan Facebook persendirian tersebut tanpa had dengan kadar bayaran atau yuran RM25 seumur hidup.

Menariknya, selain diajar bancuhan adunan roti jala, mereka turut diajar teknik menjala, membuat pelbagai dekorasi dan kaedah penyediaan kuah kari ayam atau sos coklat.

“Dari segi resipi, sama sahaja dan tiada apa yang berbeza dengan roti jala tradisi. Jika individu itu sudah biasa menjual dan tahu mengirai roti jala, mereka boleh melakukan hal yang sama.

“Bagaimanapun, perbezaan bagi roti jala jelita adalah dari segi dekorasi termasuk bunga-bungaan menarik. Disebabkan dekorasi indahnya juga menjadikan ia sesuai menggantikan kek sebagai santapan pada majlis keraian,” katanya.

KREATIVITI roti jala dipelbagaikan dengan membentuk sebiji kek.

Jelas Cikgu Huda lagi, proses penghasilan kuih tersebut bukan sahaja menggunakan botol acuan berlubang yang sering digunakan kebanyakan individu, sebaliknya turut menggunakan acuan khas.

“Penghasilan roti jala jelita ini juga memerlukan teknik bagi membolehkan satu-satu bentuk diukir.

“Setakat ini corak yang paling sukar dihasilkan untuk individu yang baru berjinak-jinak menjala ialah ombre (dwiwarna) dan membentuk ros. Bagaimanapun jika sudah mendapat rentak, ia sebenarnya mudah sahaja,” terangnya.

ROTI jala yang berwarna biru dihasilkan di atas sebuah kuali leper.

Dengan tagline Jaminan Dari Jala Buruk Menjadi Jala Jelita, ilmu yang dikongsinya itu berjaya membantu ramai individu yang terkesan dek pandemik untuk berniaga roti jala.

“Kebanyakan yang belajar membuat roti jala adalah kerana kekurangan pendapatan akibat Covid-19. Ada juga suri rumah yang mahu membantu suami yang dipotong gaji atau dibuang kerja.

“Ramai juga yang masuk tanpa bayaran kerana tiada duit dan saya halalkan. Tanpa disangka, apabila mereka sudah berniaga, mereka bayar semula bayaran yang sepatutnya tetapi dengan jumlah lebih besar,” ceritanya.

Tambahnya lagi, harga roti jala jelita bergantung kepada corak yang dihasilkan serta kuantiti tepung gandum. Sebagai contoh, roti jala jelita ombre bermula RM35 untuk penggunaan sekilogram tepung gandum. Jika termasuk kuah kari ayam, harga tersebut boleh mencecah RM70 hingga RM100.

ROSMAH

Mempunyai komuniti tersendiri di laman sosial Facebook, Cikgu Huda juga merupakan salah seorang admin atau pentadbir bagi Kelab Roti Jala bersama pengasas kelab tersebut, Rosmah Muhamad Hassan, 43.

Ditubuhkan pada 6 Disember 2020, tujuan utama Rosmah menubuhkan kelab itu adalah bagi membantu mereka yang mencari peniaga roti jala untuk membuat tempahan.

“Pada masa itu, saya rasa kasihan melihat mereka yang tidak tahu di mana mahu mendapatkan roti jala. Ada juga yang tidak tahu di mana mahu membeli botol acuan dan piring pembakar roti jala.

“Situasi tersebut membuatkan saya berkobar-kobar untuk menubuhkan kelab ini. Bermula daripada 20 orang ahli, kelab ini kemudian mula mencuri perhatian umum terutamanya dalam kalangan wanita sehingga kini mempunyai 149,000 ahli,” katanya.

Menurut Rosmah, dia begitu teruja melihat transisi kuih tradisional itu menerusi perkongsian ahli-ahli kelab yang terus mengembangkannya dengan pelbagai kreativiti. Bermula dengan roti jala klasik, pelbagai bentuk dihasilkan menyerupai sebiji kek, bungkusan hadiah, motif kartun, bunga-bungaan dan pelbagai lagi.

Secara tidak langsung, kelab yang ditubuhkannya itu kini menjadi platform perkongsian dan pertukaran idea antara ahli.

“Sekarang ini roti jala menjadi trend menggantikan kek kerana ada juga yang tidak berapa meminati manisan tersebut.

“Saya lihat roti jala ini boleh pergi jauh. Siapa sangka, roti jala yang kita kenal dahulu berwarna kuning boleh diolah pelbagai rupa mengikut kreativiti dan saya sendiri kini mampu mengirai roti jala jelita. Secara tidak langsung, ia menaikkan populariti hidangan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN