fbpx

TFC gigit jari diikat Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pergerakan penyerang Terengganu FC, David Da Silva (dua dari kiri) dikawal ketat pertahanan, Risto Mitrevski (tiga dari kiri) dan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim (kanan).

KUALA NERUS – Hasrat Terengganu FC (TFC) kembali ke landasan kemenangan tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Skuad Sang Penyu sepatutnya boleh tersenyum dengan meraih tiga mata penuh namun gol penyerang import, David Da Silva menerusi sepakan percuma pada minit ke-89 dibatalkan pengadil Suhaizi Shukri.

Terdahulu, TFC selaku tuan rumah bermula baik pada minit ketujuh menerusi percubaan deras Faisal Abdul Halim yang tepat ke arah penjaga gol.

Berpunca gerakan dari sebelah kanan, Faisal sekali lagi mencemaskan kubu pihak lawan apabila memasuki kotak penalti namun tolakannya kali ini agak lemah pada minit ke-16.

Kekebalan benteng Sabah kemudian memaksa TFC mencuba dari jarak jauh yang menyaksikan rembatan leret Mohd. Faiz Nasir pula sekadar tersasar ke sebelah tepi pintu gol pada minit ke-35.

Peluang terbaik tuan rumah menjelma melalui pemain tengah, Dechi Marcel yang melepasi perangkap ofsaid sebelum sepakannya menggegar palang gol Sabah pada minit ke-40.

Sabah kembali memperkemaskan rentak selepas rehat dan kemasukan Saddil Ramdani hampir membuahkan hasil pada minit ke-56 melalui percubaan lencong dari sebelah kanan.

Ketika aksi berbaki satu minit, sepakan percuma penyerang TFC, David Da Silva, berjaya menerjah jaring gol sebelum dibatalkan pengadil, Suhaizi Shukri secara kontroversi yang memaksa kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan TFC kini semakin ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim dengan 31 mata manakala Sabah pula naik satu anak tangga ke kedudukan ketujuh dengan saingan Liga Super masih berbaki enam perlawanan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI