fbpx
DHABITAH menampilkan aksi cemerlang apabila berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara 3m papan anjal individu wanita di Pusat Akuatik Tokyo hari ini. – AFP

Dhabitah galas cabaran separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri terus mengibarkan cabaran Malaysia di Pusat Akuatik Tokyo apabila berjaya me­langkah ke pusingan separuh akhir dalam acara 3 meter papan anjal yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Pada pusi­ngan kelayakan semalam, atlet ber­usia 22 tahun itu menampilkan aksi cukup memberangsangkan apabila menamatkan saingan di tempat kesembilan.

Secara keseluruhan, Dhabitah mengumpul 291.60 mata selepas melengkapkan lima terjunan, sekali gus berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik untuk ke separuh akhir.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui berpuas hati dengan terjunan yang dilakukan pada aksi kelayakan tersebut, selain tekad untuk memberikan fokus terhadap saingan separuh akhir hari ini.

“Berdasarkan aksi yang ditampilkan pada hari ini (semalam), alhamdulillah saya berpuas hati. Saingan ini sudah ­berakhir, jadi saya mahu lupakan terlebih dahulu.

“Esok (hari ini) adalah hari yang baharu, oleh itu saya mahu berikan fokus terhadap saingan separuh akhir terlebih dahulu. Saya akan cuba buat yang terbaik,” kata pemenang empat pi­ngat emas Sukan SEA itu.

Sebagai rekod, edisi kali ini merupakan penampilan ke­duanya di pentas Olimpik selepas penampilan pertama di Rio 2016 menyaksikan Dhabitah menamatkan saingan 10 meter platform individu wanita di kedudukan kesembilan.

Sementara itu, nasib berbeza dialami seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee apabila gagal melangkah ke pusingan separuh akhir apabila menamatkan aksi kelayakan di tempat ke-20.

Pada aksi tersebut, Wendy memulakan saingan dengan terjunan kurang meyakinkan, sekali gus menyaksikan dia sekadar mengutip 251.95 mata selepas lima terjunan.

BERITA BERKAITAN