fbpx

Sarawak rancakkan industri pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sedang mengatur strategi untuk mengembalikan kegemilangan industri pelancongan di negeri itu sebaik kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, STB optimis bahawa industri pelancongan akan kembali mendapat rentaknya tidak lama lagi selepas melihat kejayaan program vaksinasi negara.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda, STB telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan impak kepada pemain industri pelancongan tempatan.

“Antara inisiatif dari peruntukan dana STB adalah Kempen Sia Sitok Sarawak, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak dan Pakej Insentif Pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak merupakan program pemangkin untuk memperluaskan jejak Digital Pelancongan Sarawak dengan memberi insentif kepada pemain industri untuk pembangunan dan penyelenggaraan laman web, penyediaan isi kandungan dan pengiklanan digital yang bertumpukan pelancongan Sarawak.

“Manakala Pakej Insentif Pengunjung adalah bertujuan untuk membantu membangunkan semula pelancongan Sarawak selepas pandemik. Ia merupakan insentif untuk membantu agensi pelancongan menarik kemasukan pelancong domestik dan juga antarabangsa.

“Kami melancarkan Kempen Pelancongan Antara Negeri Sarawak iaitu ‘Sia Sitok Sarawak’ yang dilancarkan pada 17 Ogos tahun lalu. Melihat kepada kejayaan kempen ini yang telah menjadi satu jenama, Sia Sitok Sarawak V2.0 telah dilancarkan pada bulan April tahun ini.

“Bagaimanapun, kita perlu berwaspada dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila kebenaran melancong dibuka semula kelak,” katanya

Tambahnya, statistik menunjukkan, Sarawak mencatatkan kejatuhan teruk sebanyak 93.95 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan jumlah kemasukan pelancong seramai 56,278 berbanding 930,056 pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagaimanapun, jika kerajaan membuka sempadan daerah dan membenarkan aktiviti rentas daerah, penduduk di negeri ini boleh berkunjung ke daerah-daerah di Sarawak dan dapat merancakkan aktiviti pelancongan domestik.

“STB tidak pernah berhenti untuk mempromosikan Sarawak dengan memberi penekanan kepada budaya, pengembaraan, alam semula jadi, festival, makanan dan juga mempromosikan konsep Pelancongan Bertanggungjawab.

“Promosi berterusan ini penting untuk menimbulkan keinginan untuk berkunjung, dan menjadikan Sarawak sebagai teratas dalam senarai tempatan apabila industri pelancongan domestik dibuka semula kelak,” jelasnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI